Johor tubuh pusat pemulihan akidah terpesong, LGBT

MOHD FARED
MOHD FARED
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan menubuhkan pusat pemulihan bagi mengatasi isu akidah terpesong serta individu yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi pusat pemulihan yang dijangka beroperasi pada Julai tahun depan.

"Pusat pemulihan ini bukan sahaja diwujudkan bagi mereka yang terpesong akidahnya tetapi juga menempatkan golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau LGBT (disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Syariah, Enakmen 26-Musahaqah) agar kembali ke fitrah asal.

"Kewujudan pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini merupakan pertama kali diadakan di Malaysia.

Ketika ini, ia sedang dalam proses persiapan kemasukan harta modal di bahagian pejabat, asrama pelatih lelaki dan perempuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Mohd Fared (BN- Semerah) sebelum itu menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) berhubung jumlah saudara baharu sejak 2020 sehingga kini dan rancangan dakwah kepada mereka dan umat Islam di negeri ini.

Menurut beliau, RM15 juta setahun diperuntukkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dakwah serta kebajikan.

"Seramai 2,845 individu telah berdaftar memeluk agama Islam sejak 2020 sehingga November tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Pecahan membabitkan seramai 728 orang bagi tahun 2020; 688 orang (2021); 796 orang (2022) dan 633 orang sehingga November tahun ini.

"Saudara baharu kita yang berdaftar di Johor terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum antaranya Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Orang Asli serta warganegara asing dari Filipina dan Vietnam," katanya.