Ahli Bersatu desak Syed Abu Hussin letak jawatan

Ahli Bersatu Bukit Gantang mendesak Syed Abu Hussin letak jawatan ahli Parlimen Bukit Gantang
Ahli Bersatu Bukit Gantang mendesak Syed Abu Hussin letak jawatan ahli Parlimen Bukit Gantang
A
A
A

BUKIT GANTANG - Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang susulan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man berkata, tindakan wakil rakyat itu bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat, malah mencemar sistem demokrasi rakyat.

Ahmad (duduk, tengah) ketika sidang akhbar pada Selasa.
Ahmad (duduk, tengah) ketika sidang akhbar pada Selasa.

Menurutnya, sebagai ahli Parlimen pembangkang, beliau sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan dengan jujur dan telus.

"Sokongan ahli Parlimen kepada kerajaan harus berdasarkan kepentingan rakyat atas sesuatu isu, bukannya menyokong kedudukan Perdana Menteri dari blok kerajaan.

"Jika beliau begitu percaya sokongan ke atas Kerajaan Madani itu mendapat restu pengundi, maka beliau seharusnya meletak jawatan dan bertanding semula atas tiket Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN)," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang dekat Simpang di sini pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang itu berkata, sistem demokrasi negara akan terjejas sekiranya semua ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan sama, hanya untuk mendapatkan kelebihan peruntukan.

Katanya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini telah membuktikan bahawa sokongan rakyat masih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) walaupun mengetahui parti itu bukan sebahagian kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap majlis tertinggi parti tidak berdiam diri dalam isu ini dan kami minta beliau segera dipecat keluar.

"Tindakan sama juga perlu dilakukan ke atas empat lagi wakil rakyat Bersatu yang telah menyatakan sokongan awal kepada Perdana Menteri," katanya.

Pada Selasa, Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Beliau sebelum ini pernah menyatakan pendirian akan menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu sekiranya peruntukan disalurkan ke kawasannya.

Untuk rekod, beliau memohon peruntukan sebanyak RM30 juta melibatkan kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Selain itu, Syed Abu Hussin juga memohon peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim yang meliputi sebanyak RM16 juta.