Bersatu harap Syed Abu Hussin individu terakhir sokong Anwar

Saifuddin menunjukkan laporan setahun sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota pada Selasa.
Saifuddin menunjukkan laporan setahun sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi pemimpin terakhir yang mengisytiharkan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang turut menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu meminta pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) terus kekal dengan pendirian.

"Saya berempati dengan mereka yang umum sokong PM (Perdana Menteri), saya tidak anggap mereka sebagai musuh, kita tetap kawan. Apa yang pasti saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka (lima Ahli Parlimen). Saya tidak pasti keputusan itu semata-mata kerana peruntukan dan kita juga tidak tahu masalah yang mereka hadapi.

"Ini mungkin yang terakhir setakat saya tahulah. Ada perbincangan dengan parti ke? Sebab itu saya kata setakat yang saya tahu, sebab ada masanya kita dapat merasakan angin ada bertiup ataupun daun itu ada bergoyang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar berkenaan isu semasa dan laporan setahun sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Syed Abu Hussin mengumumkan sokongan terhadap Anwar ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, beliau pernah menyatakan pendiriannya akan menyokong kepimpinan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, sekiranya peruntukan disalurkan ke kawasannya.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua ahli Parlimen Bersatu khususnya perlu belajar daripada pengalaman ahli Parlimen lain yang pernah bergelar pembangkang sebelum ini.

Jelas beliau, perjuangan parti harusnya didahulukan oleh semua kepimpinan.

"Kita (perlu) istiqamah dengan perjuangan. Orang kata ikat perut lah sikit untuk jaga pusat khidmat masing-masing dengan pegawai dan kakitangan yang seadanya, setakat yang kita mampu.

"Saya tahu memang perit terutamanya bagi ahli Parlimen yang baru penggal pertama. Tapi kalau hendak kira saya lagi serik sebab saya pernah menjadi menteri dan ahli Parlimen kerajaan.

"Jadi, penerimaan pengundi kepada saya mahupun bekas menteri lain itu sebenarnya lebih besar daripada ahli Parlimen baharu ini," katanya.

Sementara itu, ketika disoal sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti 2022 diluluskan dalam keadaan tergesa-gesa hingga membuka ruang kepada situasi berlaku ketika ini, Saifuddin memberitahu, setiap RUU masih mempunyai peluang untuk dipinda dan ditambah baik.

Ujarnya, sebelum ia dibentangkan dan diluluskan, sesi libat urus diadakan terlebih dahulu.

"Cuma, ketika itu kita tidak sangka apabila berlaku ahli Parlimen daripada parti tertentu mengemukakan sokongan kepada kerajaan. Speaker Dewan Rakyat lebih berkuasa untuk memutuskan sama ada ia dikira sebagai 'lompat' atau tidak.

"Ketika diluluskan, kita tidak sangka kuasa Speaker Dewan Rakyat menjadi begitu besar. Jadi, kita tengok dah ada usul untuk menyemak dan menambah baik RUU ini dan kita tunggu lah, biar RUU ini matang dulu," katanya.