Tempoh kempen beri gambaran 'keikhlasan' kerjasama Pas, Bersatu

Shabery (tiga dari kiri) meninjau makanan sejuk beku seperti kuih yang turut disediakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada Majlis Pelancaran Felda Siap Siaga 2023 Peringkat Kebangsaan di Felda Seberang Tayor pada Selasa. - Foto Bernama
Shabery (tiga dari kiri) meninjau makanan sejuk beku seperti kuih yang turut disediakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada Majlis Pelancaran Felda Siap Siaga 2023 Peringkat Kebangsaan di Felda Seberang Tayor pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

CHUKAI - Ketiadaan calon Pas bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau turun membantu parti itu untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, indikasi jelas mengenai ‘keikhlasan’ kerjasama gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu juga, memberi gambaran sebenar tahap penghormatan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, yang merupakan parti gabungan Pas dalam PN.

Shabery (tengah) menyerahkan kit banjir kepada wakil Felda. - Foto Bernama
Shabery (tengah) menyerahkan kit banjir kepada wakil Felda. - Foto Bernama

"Mereka sudah melihat keretakan dalam Bersatu dan tidak merasakan Bersatu boleh diharap. Maka sebab itu bagi dia pemimpin Bersatu bukannya satu pemimpin yang perlu dihormati,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon BN, Tan Sri Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkempen, di sini pada Selasa.

Semalam Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri hadir pada dua program di sini, untuk membantu jentera kempen Ahmad Samsuri, namun begitu kelibat Menteri Besar Terengganu itu tidak kelihatan termasuklah pada acara ceramah perdana, walaupun pada awalnya diuar-uarkan beliau akan turut bersama.

Namun, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, perkara tersebut bukan suatu yang pelik, kerana sejarah Pas membuktikan bahawa parti itu hanya mempergunakan parti-parti yang bekerjasama dengannya, selagi ia menguntungkan.

Apatah lagi, katanya tindakan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan gambaran kepada pimpinan Pas bahawa Bersatu tidak boleh diharapkan lagi dan tidak perlu dihormati.

"Ini yang berlaku dengan Semangat 46 dan DAP. Mereka juga pernah bersama UMNO, tapi apabila mereka rasa tak boleh guna, mereka ketepikan. Ini juga akan berlaku kepada Bersatu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tempoh kempen PRK Kemaman yang masuk hari kesebelas hari ini juga memperlihatkan kelibat Ahmad Samsuri yang jarang kelihatan, bertemu dan berkempen dengan para pengundi.

Mengulas mengenainya Shabery berkata, ia terserah pengundi untuk mempertimbangkannya sendiri, sama ada mereka mahu diwakili Ahli Parlimen yang sukar ditemui.

"Jika sebelum diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen sekalipun Ahmad Samsuri sudah sukar ditemui atas alasan sibuk melakukan tugas rasmi, apatah lagi sekiranya beliau menang nanti.

"Kalau orang yang memang dia tidak tunjuk muka, selepas ini lagi dia tidak akan tunjuk muka dan dia tidak akan peduli (kepada pengundi),” katanya. - Bernama