PRK Kemaman: Peratusan keluar mengundi dijangka tidak lebih 80 peratus

Razali (gambar kecil) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK Kemaman, Sabtu ini tidak banyak berbeza berbanding PRU15 lalu.
Razali (gambar kecil) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK Kemaman, Sabtu ini tidak banyak berbeza berbanding PRU15 lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan berlangsung Sabtu ini dijangka tidak melebihi 80 peratus.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, jumlah itu dijangka tidak banyak berbeza berbanding peratusan keluar mengundi yang direkodkan di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

"Saya jangka peratusan keluar mengundi tidak berubah tapi tidak lebih 80 peratus. Kita jangka ia kurang 80 peratus tetapi undian kita insya-ALLAH akan kekal, cuma kita nak pastikan pengundi yang tinggal di luar Parlimen Kemaman pulang mengundi.

"Kita sedang berusaha untuk pastikan mereka balik dan kita ramal berlaku pertambahan undian sekali gus mencapai sasaran kita majoriti 30,000," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, pada Selasa.

Menurut Razali, jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) telah bersiap siaga dengan semua kemungkinan yang akan berlaku disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Terengganu ketika ini.

"Kita doakan agar keadaan cuaca pada hari mengundi baik dan tidak hujan. Kalau hujan kita bersedia dengan pengangkutan jentera kita. Kita telah kenal pasti mana-mana pengundi yang terkesan dengan banjir.

"Persiapan di PPS (pusat pemindahan sementara) memuaskan. Saya telah melihat keseluruhan (persiapan) terutama di DUN saya (Kijal) semua PPS bersiap siaga dan jentera kita pun dah siap sedia untuk mengangkut mangsa-mangsa banjir yang juga pemilih," katanya.

PRK Kemaman menyaksikan Pas mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu untuk menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15 lalu, calon Pas, Che Alias Hamid mendapat undi sebanyak 65,714 menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen berkenaan, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing- masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.

Jumlah undi keseluruhan adalah sebanyak 113,095 dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 82.15 peratus manakala undi ditolak sebanyak 1,288 dan undi tidak dikembalikan sebanyak 150 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!