'Ingatkan ramai, rupanya tiga orang sahaja mengundi'

Norhayati Ismail (kiri) dan Razidah Razali (kanan) menunjukkan jari selepas menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi awal Balai Polis Kijal, Kemaman pada Selasa.
Norhayati Ismail (kiri) dan Razidah Razali (kanan) menunjukkan jari selepas menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi awal Balai Polis Kijal, Kemaman pada Selasa.
A
A
A

KEMAMAN - "Ingatkan ramai, rupanya-rupanya tiga orang sahaja yang mengundi di sini," kata Norhayati Ismail, 38.

Norhayati merupakan salah seorang daripada tiga pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab mengundi di Balai Polis Kijal dekat sini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Selasa.

Dia yang merupakan isteri kepada anggota tentera lega kerana proses pengundian berjalan cepat dan lancar meskipun keadaan cuaca tidak begitu baik.

"Rasa gementar juga sebab ini kali pertama mengundi dalam suasana tidak ramai, hanya tiga orang.

"Alhamdulillah...sudah selesai mengundi. Saya bertolak dari Besut sejak petang semalam kerana saya menetap dan bekerja di sana.

"Hari ini suami saya turut hantar saya ke sini untuk mengundi," katanya kepada pemberita selepas selesai menbuang undi di pusat pengundian awal di Balai Polis Kijal dekat sini pada Selasa.

Sementara itu, seorang lagi pengundi awal, Razidah Razali, 36, berkata, dia teruja mengundi pada kali ini dengan bangun dari tidur seawal jam 5.30 pagi untuk bersiap ke pusat mengundi selain menyelesaikan urusan anak-anak pergi ke sekolah.

"Kali ini suasana mengundi sedikit berbeza kerana hanya tiga orang yang mengundi pada hari ini.

"Proses pengundian juga tidak mengambil masa yang lama dan ia berjalan dengan teratur dan baik.

Artikel Berkaitan:

"Namun saya gembira dan lega kerana dapat tunaikan tanggungjawab dan hak sebagai rakyat Malaysia untuk menentukan calon wakil rakyat yang mewakili Parlimen Kemaman," ujarnya.

PRK Parlimen Kemaman boleh dikatakan agak unik apabila pengundian awal yang ditetapkan pada Selasa dengan hanya melibatkan tiga pengundi.

Ketiga-tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera itu akan menunaikan hak mereka di pusat mengundi Balai Polis Kijal, di sini, bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Sebelum ini, selain tiga pengundi itu, SPR mengumumkan pengundian awal bagi PRK itu akan membabitkan seramai 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera.

Bagaimanapun, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua mereka diarahkan mengundi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Disember ini sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!