RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentang semula

Dr Zaliha pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Zaliha pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentang semula bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa, antara lain menggugurkan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada Rabu.

Terdahulu, beliau menarik semula Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali kedua seperti yang tertera dalam No 4 Aturan Urusan Mesyuarat pada Selasa.

Rang undang-undang yang ditarik balik itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun lepas sebelum dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen.

Berdasarkan rang undang-undang sebelum ini, Fasal 13 menyatakan tiada seorang pun boleh menjual dan membeli apa-apa produk tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada mana-mana orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Menurut Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentang pada Selasa, Fasal 13 (1) dan 13 (3) menyatakan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada orang belum dewasa.

Fasal 17 (1) pula menyatakan larangan merokok, mengunyah dan menggunakan produk tembakau kepada orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

"Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak lebih RM500 atau diperintahkan melaksanakan khidmat masyarakat menurut Kanun Tatacara Jenayah atau Akta Kanak-Kanak 2001,” menurut rang undang-undang itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: