Bukan sekadar dekorasi

A
A
A

SEJARAH perundangan negara seringkali tidak difahami oleh ramai orang. Malah sebahagian pula sengaja mengabaikan sejarah perundangan negara kita.

Sebenarnya sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan negeri-negeri Melayu merupakan “negara-negara”yang berdaulat. Negara-negara berdaulat ini dimiliki oleh Rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada Raja-Raja masing-masing.

Oleh hal yang demikian tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana baginda-baginda mempunyai jajahan mereka sendiri.

Malah mewakili Negeri Sembilan, empat Dato Undang juga menjadi penandatangan persetujuan tersebut kerana setiap Dato Undang di Negeri Sembilan juga mempunyai jajahan mereka sendiri.

Begitulah peri pentingnya kerajaan-kerajaan Melayu di Malaysia. Malah di Malaysia kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai 'kerajaan' bukan 'pemerintah'.

Kalimah kerajaan mempunyai akar kata raja yang menggambarkan kepentingan raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura dan Indonesia.

Raja-raja Melayu bukanlah hanya sebagai dekorasi dalam sistem pemerintahan negara tetapi mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang dizahirkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan itu pula adalah kesinambungan daripada sejarah perundangan negara. Ia bukan tiba-tiba muncul pada 31 Ogos 1957.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itulah kita dapat melihat antara lain Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif Persekutuan yang sebenar terletak kepada Yang Di Pertuan Agong, bukan Perdana Menteri atau pihak lain.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas kuasa eksekutif yang sebenarnya terletak kepada Yang Di Pertuan Agong. Oleh itu bagindalah pemerintah yang sebenar kepada negara di mana jemaah menteri hanya menjalankan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diberikan kepada mereka.

Namun ramai yang berhujah oleh kerana Perkara 40 menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat, jemaah menterilah yang mempunyai kuasa bagi mentadbir negara. Perkataan nasihat tersebut ditafsirkan sebagai ‘arahan’ yang mengikat.

Hal ini terjadi kerana ramai yang masih terikat dengan tafsiran nasihat sebagai wajib diikuti sebagaimana nasihat Residen British dahulu kepada Raja-Raja Melayu.

Oleh kerana kita sudah begitu lama merdeka tafsiran sebenar perkataan nasihat perlulah ditafsirkan mengikut makna bahasanya yang sebenar bukan mengambil pendekatan sebelum merdeka.

Ini adalah disebabkan kedudukan dan penghormatan kepada Raja-Raja Melayu sebelum dan selepas merdeka sangat berbeza. Malah negara juga telah lama memutuskan kehakiman kita tidak lagi merujuk kepada Majlis Privi di England.

Malaysia begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya yang tersendiri. Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu namun mempertahankan institusi raja sangatlah perlu kerana ia merupakan jati diri negara kita.

Sistem semak dan imbang di Malaysia tidak hanya dijalankan oleh cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman tetapi raja juga turut berperanan.

Setiap pihak sama ada raja rakyat mahupun pimpinan kerajaan perlu akur dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kemegahan dan gahnya institusi dan peranan bukan semata-mata atas kemuliaannya tetapi setiap pihak hendaklah berusaha memuliakan institusi yang diduduki.

Rata-ratanya rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sangat taat kepada Raja-Raja sehinggakan kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat sentiasa meniti di hati masyarakat Melayu. Jangan sesekali mencemarkan institusi Raja-raja Melayu apatah lagi ianya telah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ironinya ada yang mempertikaikan institusi raja-raja Melayu tetapi tidak malu-malu pula apabila menerima anugerah daripada raja-raja Melayu tanpa segan silu terus menerimanya.

Raja dan rakyat berpisah tiada ia bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi. Raja-raja perlu merasai denyut nadi rakyat barulah rakyat akan bangun mempertahan Raja. Raja perlu bersama rakyat menjalin hubungan yang intim dan bersepadu.

Yang di-Pertuan Agong yang baru dipilih ini telah menzahirkan keakraban baginda bersama rakyat acapkali baginda mengabaikan protokol diraja semata-mata bagi bersama rakyat.

Sebagai ketua agama Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan agama Islam. Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa. Raja-Raja merupakan benteng terakhir umat Islam di dalam mempertahankan agama Islam di Malaysia. Hakikat ini perlu diinsafi oleh setiap rakyat dan Raja-Raja.

Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini. Kita pertahankan jati diri negara ini. Jangan alihkan institusi Raja- Raja Melayu ini dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain. Raja dan rakyat berpisah tiada.

Marilah kita sama-sama jayakan sistem Raja Berperlembagaan dengan meletakkan kedudukan Raja di tempatnya yang sebenar. Raja bukan sekadar dekorasi tetapi jatidiri negara.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia