Lelaki juga mangsa keganasan rumah tangga

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak 450 kes keganasan rumah tangga di Pulau Pinang melibatkan 105 mangsa lelaki dan 345 wanita direkodkan sepanjang tahun lalu.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, mengikut rekod polis, bagi tahun ini sehingga September, sebanyak 288 kes telah direkodkan dengan 64 mangsa lelaki dan 224 mangsa wanita.

Menurutnya, mengikut data tersebut, ia menunjukkan golongan suami juga tidak terkecuali menjadi mangsa keganasan rumah tangga selain wanita yang sinonim dengan isu tersebut.

"Ia dibuktikan dengan statistik yang direkodkan pihak polis iaitu 64 mangsa lelaki sehingga September tahun ini dan 105 mangsa pada tahun lalu.

"Antara contoh golongan ini terlibat dalam kes keganasan rumah tangga adalah berbentuk sindiran, perang dingin dan penderaan mental," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Boon Heng (PKR-Kebun Bunga) berhubung statistik kes keganasan rumah tangga di Pulau Pinang yang melibatkan wanita dan lelaki.

Tambah beliau, keganasan rumah tangga adalah antara isu sosial yang sering berlaku sehingga menjadi norma dalam kalangan masyarakat dan dianggap sebagai satu pergolakan sesebuah keluarga yang wajar diselesaikan tanpa campur tangan pihak lain.

Artikel Berkaitan:

Lim Siew Khim
Lim Siew Khim

"Isu ini ditafsirkan sebagai kesalahan jenayah yang boleh ditangkap mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 1994 [Akta 521] yang dibaca bersama peruntukan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] serta undang-undang bertulis yang lain.

"Akta 521 mula dikuat kuasa pada 1 Jun 1996 yang terpakai kepada semua orang dalam Malaysia tanpa mengira jantina, bangsa, agama, warganegara bagi membendung isu keganasan rumah tangga," katanya.

Ujar beliau, mengambil kira keperluan dan kehendak semasa berikutan peningkatan kes keganasan rumah tangga dalam kalangan masyarakat, Akta 521 telah dipinda pada 2012 dan 2017.

"Pindaan tersebut melibatkan perluasan takrifan keganasan rumah tangga termasuklah kecederaan psikologi dan emosi selain fizikal.

"Dalam mempelbagaikan khidmat sokongan yang diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga, Dasar Keluarga Selamat Negeri Pulau Pinang telah digubal dan dilaksanakan sejak tahun 2020," katanya.

Siew Khim berkata, sebanyak 345 'First Support Points' dilatih untuk memberi sokongan awal kepada mangsa keganasan rumah tangga setakat ini oleh Penang Women’s Development Corporation (PWDC) dan Women’s Centre for Change (WCC).

"'First Support Point' ini terdiri daripada jabatan, agensi kerajaan, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan agama.

"Selain itu, pelbagai program kesedaran juga dijalankan kepada lebih 1,600 orang dalam meningkatkan kesedaran rakyat negeri ini tentang gejala keganasan rumah tangga dan cara mendapat bantuan," katanya.

Tambah beliau, selain daripada penguatkuasaan undang-undang, kerjasama agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga adalah penting untuk menangani isu ini.

"Pelaksanaan program pendidikan, latihan kekeluargaan dan khidmat kaunseling secara sistematik dengan kerjasama semua pihak terlibat adalah penting demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosial negara," katanya.