Pemegang sijil pengesahan halal Malaysia di Pulau Pinang meningkat

Mohamad
Mohamad
A
A
A

GEORGE TOWN - Jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia di Pulau Pinang meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini dengan jumlah keseluruhan adalah 4,973 pemegang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah tersebut melibatkan 1,435 pemegang bagi tahun 2021, 1,729 pada 2022 dan 1,809 sehingga Oktober tahun ini.

Menurutnya, selain pemegang sijil, jumlah permohonan sijil halal juga meningkat iaitu 1,015 pada tahun 2021, 1,031 pada 2022 dan 920 sehingga Oktober tahun ini.

"Peningkatan jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia ini memberikan gambaran positif mengenai kesedaran peniaga atau usahawan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk kategori produk mereka.

"Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sentiasa proaktif dalam mempromosikan kesedaran halal secara berkala kepada pemain industri sama ada secara kendiri atau melalui kerjasama agensi-agensi pembimbing antaranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," katanya.

Mohamad (PKR-Batu Maung) berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 dan Usul Anggaran Pembangunan 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Beliau berkata, prosedur dan standard pensijilan halal Malaysia adalah merujuk kepada konsep halalan toyyiban yang digariskan oleh hukum syarak.

"Ia mengambil kira dua aspek utama iaitu aspek halal mengikut perspektif syarak dan juga aspek toyyiban yang mencakupi keselamatan, kebersihan, kualiti dan etika pengurusan.

Artikel Berkaitan:

"JHEAIPP juga sentiasa terbuka memberikan khidmat nasihat secara langsung kepada syarikat yang berminat untuk memohon pensijilan halal Malaysia sama ada secara bersemuka, telefon, emel atau lain-lain saluran yang bersesuaian," katanya.

Tambah beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di peringkat Persekutuan juga kini sedang menambah baik dan menaik taraf sistem MYeHALAL supaya bersifat lebih mesra pelanggan.

"Usaha ini diharap dapat membantu meningkatkan lagi jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia di Pulau Pinang khususnya.

"JHEAIPP juga telah melaksanakan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 iaitu kelulusan permohonan SPHM yang lengkap dalam 30 hari bekerja bermula 01 November 2023.

"Ini selaras dengan hasil kajian JAKIM dan hasrat Kerajaan bagi mempercepatkan proses kelulusan SPHM tanpa membelakangkan aspek integriti dan perundangan negara," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan Pulau Pinang sentiasa komited dalam memperkukuhkan dakwah secara menyeluruh di negeri ini.

"Bagi tahun 2024, sejumlah RM718,250 telah diperuntukkan bagi penganjuran majlis-majlis rasmi kerajaan negeri antaranya penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran, Majlis Hafazan Al-Quran, Festival Nasyid, sambutan Maal Hijrah serta Maulidur Rasul.

"Sementara itu, RM762,550 telah diperuntukkan di bawah Jawatankuasa Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) Hal Ehwal Agama Islam bagi tujuan pelaksanaan program-program berkaitan hal ehwal Islam.

"Bagi tahun ini, dengan jumlah peruntukan yang sama, pelbagai program telah dilaksanakan yang merangkumi aspek-aspek antaranya pemantapan kariah dan masjid, pemantapan akidah dan dakwah serta forum perdana dan karnival halal," katanya.