Ganggu rumah tangga rakan punca motosikal dihumban ke tasik

Motosikal Honda EX5 ditemui dalam tasik di Taman Tasik Bahau pada Rabu.
Motosikal Honda EX5 ditemui dalam tasik di Taman Tasik Bahau pada Rabu.
A
A
A

JEMPOL- Tidak berpuas hati dengan pemilik motosikal jenis Honda EX5 selepas didakwa mengganggu rumah tangga orang punca kenderaan itu dihumban oleh seorang lelaki ke dalam tasik di Taman Tasik Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, hasil semakan mendapati motosikal yang ditemui dalam tasik itu adalah milik seorang lelaki warga Indonesia yang tinggal di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh.

"Bagaimanapun selepas pemiliknya meninggal dunia, kenderaan tersebut telah dibeli oleh seorang wanita yang juga warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pembelian dikenali dengan panggilan nama Mie.

"Siasatan awal polis mendapati sebelum itu, seorang lelaki iaitu suspek berusia 40 tahun telah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan Mie yang cuba memutuskan hubungan rumah tangga rakannya yang berada di Indonesia manakala suaminya berada di Batu Kikir, Jempol," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, suspek sebelum itu telah memberikan amaran kepada Mie supaya tidak mengganggu lagi rumah tangga kawannya tetapi Mie masih berjumpa dan menghantar gambar bersama suami rakannya itu.

"Tindakan Mie menyebabkan suspek berasa marah. Berikutan itu pada jam 11 malam Selasa, semasa suspek mahu balik ke rumah telah nampak motosikal Mie di parkir belakang kedai makanan di Taman Meranti, Bahau.

"Suspek mendapati kenderaan itu tidak berkunci, lalu menolaknya sehingga ke Taman Tasik Bahau sebelum menghumbannya ke dalam tasik," katanya.

Katanya, butiran suspek telah diperoleh dan dalam tindakan untuk kesan serta tangkap suspek dengan alamat terakhirnya di Taman Rasa Sayang, Bahau dan kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penemuan motosikal itu pada jam kira-kira 6.30 pagi di dalam tasik mencetuskan tanda tanya orang ramai susulan tidak menemui penunggangnya.

Malah pasukan bomba dan penyelamat turut melakukan pencarian di dasar tasik tetapi tidak menemui sebarang penemuan ataupun tanda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!