Pulau Pinang perlu belajar daripada Selangor - Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang seharusnya belajar daripada kejayaan Selangor untuk menubuhkan sebuah Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, kelebihan yang sudah dimiliki oleh Pulau Pinang ini harus dimanfaatkan sepenuhnya di dalam pembuatan 'back-end' cip bagi mewujudkan industri pembuatan 'front-end' reka bentuk litar bersepadu ini.

Menurutnya, litar bersepadu itu seterusnya dapat membantu reka bentuk cip mikro yang merupakan blok binaan asas untuk peranti elektronik, baik daripada telefon pintar kepada superkomputer.

"Penubuhan sebuah Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu ini kelak tentunya akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai Silicon Valley di Malaysia.

"Saya akan bertemu sendiri dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkenaan pendirian beliau yang merasakan penubuhan taman pemacu industri seperti ini tidak diperlukan di Pulau Pinang, lantaran sudah banyak syarikat berkaitan industri semikonduktor di negeri ini," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, pada 22 April lalu, semasa penganjuran KL20 Summit 2024, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelan bagi menubuhkan Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu di bawah kelolaan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC).

Jelasnya, projek ini bakal dipacu bersama empat buah syarikat sebagai rakan strategik iaitu Arm Holdings yang dimiliki oleh Softbank, Shenzen Semiconductor Industry Association, syarikat reka bentuk litar bersepadu Pulau Pinang iaitu SkyeChip Sdn Bhd dan juga syarikat Malaysia AI Storage (Mai Storage) atau Phison.

"Saya turut mengalu-alukan pengumuman Chow (Kon Yeow) tentang minat yang dinyatakan oleh tiga buah syarikat semikonduktor dari China, yang sedang mempertimbangkan untuk melabur USD100 juta, yang sudah pasti akan memperkukuhkan ekosistem pembuatan back-end di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat-syarikat ini bakal dibawa masuk oleh Blue Chip Venture Capital yang berpangkalan di Pulau Pinang, yang juga merupakan salah sebuah rakan kongsi dana global utama bagi Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu SIDEC," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, syarikat-syarikat yang bertapak di Pulau Pinang seperti SkyeChip, Phison dan Blue Chip Venture Capital harus diberi insentif untuk memberi tumpuan sepenuhnya di Pulau Pinang dan bukannya mengalihkan perniagaan atau sumber mereka ke Selangor.

Katanta, visi Selangor adalah untuk menubuhkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dalam masa enam bulan sahaja.

"Dengan insentif sebanyak RM125 juta daripada kerajaan Selangor dan Persekutuan dan RM75 juta lagi daripada sektor swasta, banyak syarikat termasuk dari Pulau Pinang akan tertarik untuk melaksanakan reka bentuk front-end litar bersepadu mereka di sana.

"Pulau Pinang harus segera mengambil bahagian sepenuhnya, biarpun tidak lagi mengepalai, bagi menyelaraskan hala tuju yang sama dengan Putrajaya bagi mengalihkan sepenuhnya tumpuan sektor teknologi tempatan daripada pembuatan cip back-end kepada kerja reka bentuk front-end yang lebih bernilai tinggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!