Kedutaan Palestin nafi dakwaan minta sumbangan menerusi kedutaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kedutaan Palestin di Malaysia dan dutanya tidak pernah meminta sumbangan untuk Palestin disalurkan melalui kedutaan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Dalam kenyataan kepada Bernama pada Rabu, kedutaan itu memaklumkan mereka konsisten menekankan keperluan untuk semua aktiviti pengumpulan dana dilaksanakan di bawah pengawasan, pemantauan dan kawalan pihak berkuasa Malaysia yang bertanggungjawab.

"Malangnya, beberapa pihak tetap mendakwa bahawa kedutaan dan duta Palestin meminta NGO Malaysia menyumbang melalui kedutaan dan ini sama sekali tidak benar," menurut kenyataan itu.

Namun, selaras dengan arahan Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah, kedutaan sentiasa bersedia dan tidak akan menyekat usaha untuk memberikan bantuan dan kemudahan melalui saluran diplomatik.

Ini termasuk Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Malaysia di Jordan dan Mesir dan akaun bank Bulan Sabit Merah Palestin.

"Perlu dinyatakan bahawa pada masa ini, Palestin berada di bawah penjajahan Israel dan semua sempadan udara, laut dan darat Palestin kini berada di bawah kawalan pihak berkuasa Israel.

"Oleh itu, bagi memudahkan kemasukan sebarang bantuan ke Palestin, penyelarasan perlu dibuat melalui negara jiran (Mesir dan Jordan)," menurut kedutaan itu.

Barangan untuk dihantar ke Gaza perlu dibuat melalui pihak berkuasa Mesir manakala barangan untuk wilayah barat dan Baitulmaqdis dibawa masuk melalui pihak berkuasa Jordan.

Kedutaan itu turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan rakyatnya atas pendirian dan sokongan padu yang diberikan terhadap rakyat Palestin dari segi politik, moral mahupun kewangan. - Bernama
Artikel Berkaitan: