Malaysia perlukan 10,000 eksekutif, juruaudit halal

Khairul Azwan (dua dari kiri) dan Saarani (dua dari kanan) menunjukkan buku Pelan Induk Industri Halal 2030 sempena Majlis Perasmian Jelajah Halal Malaysia 2023 di sebuah hotel di sini pada Isnin. - Foto Pejabat MB Perak
Khairul Azwan (dua dari kiri) dan Saarani (dua dari kanan) menunjukkan buku Pelan Induk Industri Halal 2030 sempena Majlis Perasmian Jelajah Halal Malaysia 2023 di sebuah hotel di sini pada Isnin. - Foto Pejabat MB Perak
A
A
A

IPOH - Malaysia masih memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 orang eksekutif halal dan juruaudit dalaman halal untuk mengisi keperluan syarikat bagi memperoleh pensijilan halal di negara ini.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Khairul Azwan Harun berkata, sehubungan itu pihaknya sedang melaksanakan program pembangunan bakat dalam usaha memenuhi permintaan berkenaan.

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 6,000 eksekutif halal dan juruaudit dalaman halal aktif di negara ini yang kebanyakan bekerja di firma perunding.

"Pembangunan bakat itu merupakan usaha berterusan. Kalau seluruh negara kita ada lebih 8,000 syarikat yang berdaftar (mempunyai sijil halal) termasuk syarikat multinasional. Kalau ambil kira angka itu bermakna sekurang-kurangnya ada 16,000 yang diperlukan.

"Setakat ini hanya kira-kira 6,000 eksekutif halal dan juruaudit dalaman halal aktif di negara ini yang kebanyakan bekerja di firma perunding dan bukan bekerja dengan syarikat. Sebenarnya JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mahu mereka bekerja dengan syarikat terutama multinasional," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Halal Malaysia 2023 di sebuah hotel, di sini pada Isnin.

Khairul Azwan
Khairul Azwan

Program tersebut disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan turut dihadiri exco-exco kerajaan negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.

Khairul Azwan berkata, bukan sahaja tenaga kerja dalam bidang tersebut untuk memenuhi keperluan dalam negara malah terdapat permintaan daripada syarikat luar negara mendapatkan kepakaran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sudah ada beberapa individu malah bekas kakitangan HDC yang berkhidmat di syarikat multinasional menguruskan berkaitan hal ehwal pensijilan halal.

Sementara itu, Khairul Azwan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

"Sebenarnya JAKIM mahu ramai yang bekerja dengan syarikat terutama multinasional. Sesetengah syarikat multinasional mempunyai jabatan pematuhan halal sendiri. Di Perak ini, HDC mahu membantu kerajaan negeri melahirkan ramai anak muda miliki sijil seterusnya memberi peluang kerjaya lebih tinggi kerana permintaan itu ada.

"HDC juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri untuk membangunkan tenaga pakar dalam ekosistem halal kerana JAKIM meletakkan syarat satu syarikat sekurang-kurangnya dua orang yang mempunyai sijil eksekutif halal atau juruaudit halal.

"Jika sasaran kerajaan negeri meletakkan 1,000 syarikat, sekurang-kurangnya, seramai 2,000 orang yang perlu dilatih. Itu komitmen HDC untuk melatih mereka," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Azwan menjelaskan program Jelajah Halal Malaysia akan diteruskan pada hadapan dan akan mencadangkan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk dilaksanakan empat kali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini.

Jelasnya, matlamat utama program berkenaan untuk menggalakkan penyertaan usahawan-usahawan ke dalam perniagaan halal selain meningkatkan kebolehpasaran produk halal Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).