Sekurang-kurangnya enam maut kebakaran hutan di Hawaii

Sekurang-kurangnya enam orang maut akibat kebakaran hutan di Pulau Maui di Hawaii. Foto AFP
Sekurang-kurangnya enam orang maut akibat kebakaran hutan di Pulau Maui di Hawaii. Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Sekurang-kurangnya enam orang maut akibat kebakaran hutan di Pulau Maui di Hawaii, kata pihak berkuasa pada Rabu, lapor Xinhua.

Datuk Bandar Maui County, Richard Bissen, berkata, enam disahkan maut dan usaha mencari masih dijalankan.

Lebih 2,100 orang berlindung di empat pusat perlindungan di Maui dan helikopter turut digunakan bagi membantu pasukan keselamatan mengawal kebakaran, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii.

Media tempatan Hawaii News Now melaporkan, sekurang-kurangnya 20 orang mengalami kecederaan serius, beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal dan respons kecemasan di daerah itu hampir mencapai tahap maksimum.

Ratusan rumah dikhuatiri musnah dan angka korban dijangka meningkat, menurut laporan itu.

Pemangku Gabenor Hawaii, Sylvia Luke, pada Rabu mengisytiharkan darurat dilanjutkan ke semua daerah di negeri itu, memandangkan kebakaran hutan yang terus merebak di dua pulau utama Maui dan Hawaii.

Luke dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah mengarahkan semua agensi negeri yang terjejas untuk membantu proses pemindahan dan tidak menggalakkan melakukan perjalanan udara yang tidak penting ke Maui, pulau yang paling terjejas teruk setakat ini.

Beliau pada petang Selasa mengeluarkan pengisytiharan darurat berkaitan kebakaran hutan di daerah Maui dan Hawaii yang dicetuskan oleh Taufan Dora.

Artikel Berkaitan:

Pelawat di Maui Barat dinasihatkan untuk meninggalkan pulau itu dan hampir kesemua sekolah awam di Maui ditutup pada Rabu.

Selain itu banyak penerbangan ke Maui telah dibatalkan dan negeri itu merancang untuk menerbangkan 4,000 pelancong keluar dari Maui.

Gabenor Hawaii, Josh Green yang berada di luar negara atas urusan rasmi berkata: "Hawaii dilanda bencana yang dahsyat, kebakaran hutan merebak secara meluas akibat ribut taufan dan kemarau.”

"Rumah Putih telah memberi bantuan luar biasa dan kami menjangkakan akan mengemukakan permintaan untuk Pengisytiharan Darurat Presiden dalam masa 36 hingga 48 jam akan datang, sebaik sahaja kami mendapat lebih banyak maklumat mengenai kebakaran itu," katanya. - Bernama