Bung Moktar pertahan UMNO, dakwa hujah ADUN Sindumin tak bermaruah

Bung Moktar memulakan perbahasan dengan mempertahankan UMNO yang dilemparkan pelbagai tuduhan oleh Yusof pada sidang DUN Sabah.
Bung Moktar memulakan perbahasan dengan mempertahankan UMNO yang dilemparkan pelbagai tuduhan oleh Yusof pada sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan kenyataan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang 'menyerang' UMNO pada sesi perbahasan belanjawan ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri.

Bung Moktar berkata, beliau tidak berhasrat untuk menyatakan perkara lain selain isu belanjawan namun terpaksa berkata demikian bagi mempertahankan UMNO yang dipimpinnya.

"Saya terpanggil dengan hujah yang tidak bermaruah daripada ADUN Sindumin membuat lemparan tuduhan tidak berasas terhadap parti saya, UMNO. Saya akan mempertahankan bahawa UMNO bukanlah seperti parti sebegitu, Sindumin (Yusof) pun berasal daripada UMNO, dia banyak mendapat keuntungan daripada UMNO.

"Tetapi sekarang sudah jadi pengkhianat, dia punya lompatan bukan satu, dua kali, banyak kali. Kalau orang pengkhianat ini, beginilah.

"Hari ini UMNO dipimpin oleh saya, ini tidak akan berlaku lagi. Saya bukan manusia yang luar biasa, tetapi saya tahu apa yang rakyat Sabah tahu dan Sindumin cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Majoriti hujahan Sindumin itu seperti meludah ke langit, kena muka sendiri," katanya pada sesi pembukaan ketika membahas belanjawan dalam sidang DUN di sini pada Isnin.

Bung Moktar dalam pada itu tidak memberi peluang kepada Yusof yang ingin mencelah kerana tempoh masa untuk berbahas hanya 15 minit diberikan.

"Tidak ada laluan, sudah tadi, cukup. Kalau di luar cari tempat kita bahas. Buang masa saya.

"Saya tidak akan layan orang tidak ada karisma, tidak berintegriti. Kalau ada integriti, saya bagi. Tidak bermaruah, sorry no place for you (maaf, tiada tempat untuk anda)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam sesi perbahasan Yusof membandingkan Sabah yang ketinggalan berbanding Sarawak dari segi struktur politik dan kepimpinan kerajaan negeri disebabkan sifat pemimpinnya sendiri.

"Kenapa Sarawak cuma hanya ada enam Ketua Menteri dan Sabah sudah ada 16 Ketua Menteri, kenapa itu terjadi? Sebenarnya tanpa disedari oleh pemimpin politik Sabah kita sudah jadi permainan orang lain terutama sekali rakan kita di Semenanjung.

"Kenapa UMNO masuk ke Sabah? Semua itu akibat kita juga pemimpin Sabah yang bercakar, saya berharap kita sedar akan permainan Semenanjung itu. Saya juga insaf dulu kita bawa UMNO ke Sabah dan saya juga salah seorang jurutera yang membawa UMNO masuk ke Sabah.

"Saya berharap keadaan pada masa itu, bila UMNO masuk ke Sabah kita bertambah maju seperti Selangor dan Johor yang ditadbir oleh UMNO, tetapi kita silap semasa UMNO BN berada di Sabah kita semakin terhakis, akhirnya kita semakin jauh ketinggalan dan mundur.

"Dalam masa sama juga kita perlu belajar yang memerintah Malaysia 60 tahun boleh jatuh pada 2018 ini adalah akibat tabiat pemimpin UMNO yang telah salah guna kuasa dan perangai UMNO juga telah terbawa-bawa ke Sabah," katanya.

Beliau dalam pada itu meminta supaya kerajaan Sabah membuat protes berhubung isu pelantikan penyelaras pusat GiatMara membabitkan Ketua-Ketua Bahagian UMNO Sabah.

"Yang mendukacitakan terbaharu apabila pemimpin UMNO Pusat, Setiausaha Agung UMNO dan Pengerusi Mara mengumumkan semua Ketua-Ketua Bahagian UMNO Sabah menjadi penyelaras pusat GiatMara.

"Ini sangat tidak wajar apabila parti secara terang campur aduk dalam pengurusan GiatMara atau urusan kerajaan. Pusat GiatMara adalah milik kerajaan, bukan milik UMNO.

"Saya berharap kerajaan Sabah boleh membuat protes mengenai perkara ini kalau tidak nanti semua parti politik akan ada organisasi sendiri dalam kerajaan," tegasnya.