Subsidi bersasar dijangka tidak tingkatkan kos industri

Ahmad - Foto Bernama
Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar yang sedang dipertimbangkan dijangka tidak akan meningkatkan kos kepada industri sedia ada, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata bagaimanapun, kerajaan tetap menitik berat aspek pelaksanaan dan komunikasi yang berkesan kepada pihak industri agar tidak berlaku kejutan kepada ekonomi.

"Pemberian subsidi bahan api pada masa ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat berikutan peningkatan harga bahan api di pasaran terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Bagi terus melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak mentah di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter dan diesel pada kadar RM2.15 seliter sehingga kini, walaupun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah langkah rasionalisasi subsidi dan pembaharuan cukai dapat memberi impak kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Sementara itu, Ahmad berkata, berhubung langkah pembaharuan cukai, sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

"Sehubungan itu, Kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana.

"Kerajaan juga akan terus mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi mengkaji aspek pembaharuan sistem percukaian negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Subsidi adalah pemberian kerajaan untuk meringankan beban rakyat dengan menampung sebahagian kos yang perlu dibayar bagi mendapatkan barangan keperluan, perkhidmatan pengangkutan dan pembiayaan daripada pelbagai dana yang disediakan.

Tujuan pemberian subsidi adalah bagi menstabilkan harga barangan atau perkhidmatan tertentu dalam usaha Kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan kewangan rakyat.

Harga sebenar diesel adalah RM2.80 seliter tetapi kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak 65 sen menjadikan harga pasaran diesel RM2.15 pada ketika ini.

Ahmad berkata, kerajaan akan memastikan bahawa apabila susbsidi bersasar dilaksanakan pada tahun depan iaitu jangkaan pada bulan Mac 2024, kerajaan akan memulakan dengan diesel terlebih dahulu dan kemudiannya RON95 pada bulan seterusnya.

"Untuk memastikan harga barangan tidak naik, subsidi diesel untuk kenderaan yang membawa barangan akan terus kekal, jadi tidak ada sebab harga barang boleh naik kerana harganya kekal RM2.15 seliter.

"Untuk kenderaaan perseorangan di Sabah dan Sarawak kita masih kekal RM2.15 seliter, untuk nelayan kita juga kekalkan RM1.65 seliter dan pengangkutan awam seperti bas sekolah masih kekal RM1.88 seliter walaupun ada susbsidi bersasar,” katanya.

Ahmad berpendapat, apa yang penting adalah penguatkuasaan undang-undang apabila subsidi bersasar dilaksanakan.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai ramai pegawai untuk membanteras ketirisan, mereka menguatkuasakan 12 akta dan mereka juga berusaha untuk menwujudkan peniaga yang beretika bagi memastikan rakyat dan pengguna sentiasa dilindungi,” katanya. - Bernama