Syiar Islam disemarak dalam penjara menerusi pengajian tahfiz

Mujaini merasmikan program pengajian Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang.
Mujaini merasmikan program pengajian Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang.
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai 20 banduan terpilih mengikuti pengajian tahfiz anjuran bersama Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, program di bawah Kelas Tahfiz Khairul Ummah itu dilaksanakan di Penjara Kajang pada 24 November lalu.

Menurutnya, program pengajian tahfiz di Jabatan Penjara Malaysia merupakan yang pertama diadakan di Selangor.

"MAIS mengucapkan tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia atas usaha membanggakan dan berterusan dalam memulihkan banduan atau tahanan serta penghuni penjara.

"Secara tidak langsung ia dapat menyokong syiar Islam disemarakkan walaupun di penjara dan patut dicontohi oleh penjara yang lain," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, program berkenaan melibatkan pengajian al-Quran berteraskan kaedah 4T iaitu Talaqqi, Tadarus, Tadabbur dan Tahfiz.

Tambahnya, program turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Universiti Islam Selangor (UIS) dalam meneruskan kesinambungan pembelajaran al-Quran sehingga ke peringkat tahfiz di dalam penjara.

"MAIS berharap agar mereka terpilih ini mampu menjadi contoh kepada rakan yang lain dengan memanfaatkan masa membaca, menghafal dan mentadabbur isi kandungan al-Quran di samping mendalami pelbagai ilmu.

Artikel Berkaitan:

"Semoga usaha sebegini akan memberi peluang untuk mendapat ganjaran dan diberkati oleh ALLAH SWT," katanya.

Terdahulu, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Tahfiz Selangor, Datuk Prof Mujaini Tarimin menyempurnakan majlis perasmian.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Permasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman dan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail.