Belanjawan 2023 semarakkan syiar Islam

Peruntukan RM1.5 bilion usaha jadikan institusi Islam contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran

A
A
A

No Image Caption

Pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Febuari lalu telah memperincikan beberapa inisiatif yang jelas menunjukkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa syiar Islam.

Menerusi inisiatif tersebut, kerajaan menyediakan peruntukan berkaitan hal ehwal Islam berjumlah RM1.5 bilion sebagai usaha menjadikan institusi Islam di negara ini contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran.

Perdana Menteri berkata, pengurusan paling cekap harus dimulakan dan ia perlu menjadi markas dakwah berkesan, yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam.

Justeru bagi menghargai jasa dan keringat golongan berkenaan, kerajaan bersetuju menaikkan elaun sebanyak RM100 bagi 35,000 guru KAFA daripada RM1,000 kepada RM1,100 melalui peruntukan tambahan lebih RM40 juta.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir seramai 70,000 orang.

No Image Caption

Peningkatan kadar elaun bulanan kepada golongan berkenaan menunjukkan kerajaan yakin dengan kemampuan mereka memberi khidmat lebih baik untuk meningkatkan syiar Islam negara.

Secara tidak langsung kenaikan itu mengiktiraf peranan mereka dalam masyarakat setempat sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus menjalankan aktiviti keagamaan bagi menyebarkan kebaikan kepada umat Islam.

Manfaat berterusan

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai salah sebuah agensi peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan turut menerima sejumlah peruntukan daripada kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan 2023.

Peruntukan yang disalurkan adalah bagi melancarkan aspek tadbir urus merangkumi bidang-bidang utama seperti dakwah, pengimarahan masjid, pendidikan Islam, penguatkuasaan undang-undang Syariah dan kekeluargaan Islam.

Menurut Ketua Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, peruntukan tersebut juga memberi manfaat kepada murabbi ummah seperti Imam, Bilal, Noja, Guru Takmir dan Guru KAFA di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

"Para imam dan bilal adalah barisan hadapan dan penggerak utama aktiviti pengimarahan masjid dalam kariah masing-masing.

MOHD AJIB
MOHD AJIB

"Kesungguhan dan komitmen tinggi yang disumbangkan oleh golongan tersebut telah banyak membantu bagi melonjakkan prestasi dan fungsi masjid sebagai pengkalan ibadah serta pusat ilmu di samping menyantuni kebajikan ahli kariah yang memerlukan selaras matlamat Pelan Pengimarahan Masjid Wilayah-Wilayah Persekutuan 2020-2024," katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan bahawa, sehingga kini terdapat sejumlah 33,460 orang murid KAFA di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ujar Mohd Ajib, anak-anak di peringkat sekolah rendah itu mendapat pendidikan asas Islam secara sempurna selaras dengan modul dan kurikulum KAFA yang dibangun dan dikemas kini oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mengenai perancangan yang telah dilaksanakan, beliau menjelaskan bahawa, beberapa penambahbaikan terhadap program dan aktiviti dapat dilihat menerusi penganjuran program karnival yang meraih minat anak muda.

Selain itu, program masjid terbuka untuk pelancong asing dan golongan bukan Islam turut menggalakkan program bantuan serta kebajikan sebagai usaha meringankan beban rakyat.

"Antara program yang dianjurkan adalah Gerobok Masjid dan JAWI Food Bank serta Jilsah Ulama berkonsepkan halaqah ilmu seperti yang dianjurkan di Masjid Wilayah Persekutuan.

"Di samping itu, ia turut memberi penumpuan yang lebih terhadap aspek tata kelola masjid dan inisiatif berimpak tinggi," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.

#Belanjawan2023

#BelanjawanMADANI

Reaksi

SYAZANA
SYAZANA



"Saya bersyukur atas usaha kerajaan menambah elaun guru-guru KAFA. Cuma saranan saya di masa hadapan agar guru KAFA boleh diserap terus ke jawatan tetap dan elaunnya setimpal mengikut tahap pendidikan mereka."- Syazana Haslan, Guru KAFA

FARIDAH
FARIDAH

"Inisiatif terhadap penambahbaikan infrastruktur sekolah agama, pusat tahfiz atau yang berkaitan Islam perlu dilaksanakan sebaik mungkin agar mampu menjadi pemangkin pembangunan modal insan pelajar dalam pendidikan Islam. Infrastruktur yang berkualiti akan membantu proses pembelajaran pelajar yang berkualiti juga," - Faridah Muhammad, Guru KAFA

MUHAMMAD YUSAINY
MUHAMMAD YUSAINY

"Penggunaan ICT di sekolah agama masih kurang, maka ia perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Ini penting bagi memastikan pelajar boleh menikmati kemudahan terkini sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk belajar dengan kemudahan yang lengkap." - Muhammad Yusainy Mohamad Yunus, Guru sekolah agama

JAMILAH
JAMILAH

"Terima kasih kepada kerajaan yang tidak meminggirkan golongan pendidik. Bantuan sekali bayar yang disalurkan baru-baru ini memberi kelegaan kepada kami dalam membuat persiapan menjelang perayaan Aidilfitri."- Jamilah Bidin, Guru KAFA