TPM minta ibu bapa pantau penggunaan internet, telefon pintar anak

Dr Wan Azizah (kiri) bersalaman bersama sebahagian penduduk yang hadir pada program Kembali Ke Sekolah 2020 di Dewan Taman Cempaka hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah (kiri) bersalaman bersama sebahagian penduduk yang hadir pada program Kembali Ke Sekolah 2020 di Dewan Taman Cempaka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa ibu bapa supaya cakna mengenai terma seperti 'sexting' dan 'cybersex grooming' yang menjadi antara gejala serius boleh berlaku kepada kanak-kanak tanpa pengawasan penggunaan internet dan telefon pintar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun terdapat banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada internet, ada juga keburukan atau kesan negatif jika penggunaannya tidak dibendung.

"Ini termasuk pornografi, ‘Dark Web’ dan juga media sosial kerana terdapat ramai pengguna yang ingin mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak.

"Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa termasuklah mengawasi penggunaan internet dan telefon bimbit anak-anak kita," katanya ketika berucap pada program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan di sini hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program termasuk Program Keselamatan Keluarga dan Anak, iaitu ibu bapa diberi pengetahuan mengenai cara-cara membantu anak-anak berhadapan buli siber, 'sexting' dan pengantunan kanak-kanak dalam talian.

"Melalui program berkenaan yang diadakan sebanyak 335 kali sejak dilancarkan pada 2017, seramai 11,282 peserta seluruh negara menerima manfaat daripadanya setakat 12 Disember lepas.

"Kerajaan juga melancarkan Video Pendidikan Seksual ‘Safe Touch and Bad Touch' dan program Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) selain melaksanakan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang menjadi komponen utama bagi Program Pendidikan Seksualiti Dan Kesihatan Reproduktif," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berdasarkan statistik didedahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kira-kira 300,000 pelajar sekolah seluruh negara didapati terjebak dengan penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ termasuk 50,000 pelajar perempuan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pada program Kembali Ke Sekolah itu, seramai 300 murid sekolah rendah menerima sumbangan beg sekolah, kasut, stoking dan alat tulis.

Mereka juga menerima simpanan sebanyak RM20 setiap seorang jika membuka akaun SSPN hari ini dan tambahan sebanyak RM100 sumbangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). - Bernama