Anwar, Srettha adakan perbincangan dua hala pembangunan sempadan pada Isnin

 Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertemu rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin pada Isnin (27 November) di Sadao, Wilayah Songkhla untuk memajukan kerjasama bagi pembangunan kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada mempercepatkan pembinaan projek utama kesalinghubungan di sempadan yang bertujuan untuk menggalakkan perniagaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Projek itu, termasuk jajaran jalan antara Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baharu di Sadao, Thailand dan Bukit Kayu Hitam serta pembinaan jambatan kedua di Sungai Golok-Rantau Panjang.

Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan turut melawat jajaran jalan yang menghubungkan CIQ Sadao baharu di Thailand dan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia.

"Perdana Menteri Srettha juga akan melawat ICQS Bukit Kayu Hitam Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Anwar,” menurut kenyataan itu.

CIQ Sadao ialah pusat pemeriksaan perdagangan sempadan yang penting dengan jumlah perdagangan sempadan dan perdagangan rentas sempadan tertinggi di Thailand.

Kedua-dua pemimpin juga akan terlibat dalam mesyuarat terhad diikuti dengan majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Srettha sebagai penghormatan kepada lawatan Anwar.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada lawatan rasmi Srettha ke Malaysia pada 11-12 Oktober, menunjukkan komitmen bersama kedua-dua pemimpin untuk memajukan kerjasama konkrit dalam pembangunan sempadan antara Thailand dan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ini terutamanya dalam bidang pelancongan dan memudahkan pengangkutan rentas sempadan bagi barangan dan penumpang.

Berhubung isu keselamatan sempadan, kedua-dua kerajaan telah bekerjasama rapat untuk mencegah dan menyekat jenayah terancang di kawasan sempadan, seperti dadah, pemerdagangan orang dan perdagangan hidupan liar haram.

Pada 2022, kira-kira 2.7 juta rakyat Malaysia melawat Thailand yang membentuk kumpulan pelancong terbesar di negara ini dengan lebih satu pertiga masuk melalui pusat pemeriksaan Sadao.

Sebagai susulan kepada lawatan perdana menteri Thailand ke Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand telah menggantung sementara borang imigresen T.M. 6 untuk pelancong asing yang memasuki Thailand di pusat pemeriksaan CIQ Sadao dari 1 November hingga 30 April tahun depan, memudahkan kemasukan pelancong Malaysia.

Sejak pelaksanaan langkah itu pada 1 November, jumlah pelancong Malaysia telah meningkat sebanyak 64 peratus di pos pemeriksaan Sadao berbanding tempoh sama tahun lalu.

Setakat 19 November, pelancong Malaysia menduduki tempat pertama dalam senarai pelawat ke Thailand dengan jumlah keseluruhan 3.9 juta pelawat.

Jurucakap kerajaan Thailand Chai Watcharong berkata pertemuan antara Srettha dan Anwar di Sadao menunjukkan komitmen bersama kedua-dua kerajaan untuk mengutamakan pembangunan kawasan sempadan Thailand-Malaysia.

"Pertemuan ini akan meningkatkan kesalinghubungan dalam perjalanan, termasuk memperkemas perdagangan rentas sempadan. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada rakyat Thailand dan Malaysia, menggalakkan pertumbuhan dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, ekonomi dan masyarakat," katanya.

Chai berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam semua aspek, terutamanya memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan, serta interaksi antara rakyat.

Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar Thailand di peringkat global dan rakan dagang terbesar Thailand di ASEAN. Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di dunia dan ketiga terbesar di ASEAN, dengan jumlah dagangan RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), iaitu peningkatan 17.9 peratus daripada RM97.55 bilion (AS$23.54) pada 2021.

Kedua-dua negara menyasarkan untuk meningkatkan nilai perdagangan untuk mencapai matlamat mereka iaitu AS$30 bilion menjelang 2025, dengan majoriti perdagangan antara mereka adalah perdagangan sempadan dan transit.

Perdagangan sempadan Thailand-Malaysia pada tahun 2022 bernilai 336.12 bilion baht, menyumbang sebanyak 31.76 peratus kepada perdagangan sempadan Thailand dengan negara-negara jiran, termasuk perdagangan melalui pusat pemeriksaan kastam Sadao, Padang Besar, Betong dan Sungai Kolok. - Bernama