Kukuhkan perpaduan, elakkan perpecahan - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini seharusnya memperkukuhkan lagi semangat perpaduan sesama rakyat dalam usaha menjaga keharmonian antara agama dan bangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perpaduan sesama umat Islam adalah tunjang kekuatan sesebuah agama sekali gus mengelakkan perpecahan.

"Perpecahan bukan hanya akan berlaku dalam agama, malah isu perkauman juga bakal membawa kemudaratan kepada negara.

"Kita perlu menyelami dan menghayati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah, kaum Ansar disatukan dengan Muhajirin dan inilah ikutan yang sepatutnya dicontohi," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Razarudin berkata, dalam konteks perpaduan dan keharmonian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memandang serius peringatan oleh Perdana Menteri, bahawa betapa bahayanya budaya kafir-mengkafir sesama Islam yang ciri-cirinya sudah mula menusuk ke dalam negara ini.

"Sekadar pandangan cetek saya, budaya memfitnah, menggunakan agama sebagai alasan untuk menjatuhkan orang dan melakukan provokasi akan lebih membawa kepada keburukan serta kehancuran. Ia tidak memberi apa-apa faedah kepada keharmonian kepelbagaian agama, bangsa di Malaysia.

"Dalam konteks pelaksana penguatkuasaan undang-undang, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba menyentuh isu Agama, Bangsa dan Institusi Diraja (3R)," tegasnya.

Beliau juga berkata, sebarang isu berkaitan agama dan kaum juga tidak harus dipolitikkan dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, parti politik sepatutnya memberi tumpuan kepada isu dasar dan tidak menyerang mana-mana pihak dengan menggunakan alasan isu kafir yang hanya akan menimbulkan kacau bilau yang mungkin tidak dapat dikawal.

Anwar turut mempersoalkan mengapa tiada teguran daripada pihak berkuasa agama dalam isu kafir-mengkafir itu.