Johor serah kertas kerja LRT kepada Pusat - Exco

Johor Bahru memerlukan tiga jajaran LRT melibatkan laluan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri dengan jarak sejauh kira-kira 30 kilometer. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Fazli)
Johor Bahru memerlukan tiga jajaran LRT melibatkan laluan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri dengan jarak sejauh kira-kira 30 kilometer. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Fazli)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan mengadakan mesyuarat Khas LRT Johor Khamis ini bagi memperincikan pembinaan transit aliran ringan (LRT) di bandaraya Johor Bahru.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, selepas mesyuarat tersebut, kertas cadangan akan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan.

"Mengikut kajian awal yang dibuat, Johor Bahru memerlukan tiga jajaran LRT melibatkan laluan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri dengan jarak sejauh kira-kira 30 kilometer.

"Sebenarnya kajian sudah pun siap dan saya akan meneliti cadangan terbaik dan paling sesuai yang dihasilkan agensi negeri sebelum kita serahkan kepada kerajaan Persekutuan sebagai penilaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar pada Ahad.

Menurut Mohamad Fazli, kerajaan Johor risau dengan kesesakan di bandaraya Johor Bahru yang semakin kritikal susulan pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat.

Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara JB-Singapura dijadualkan mula beroperasi pada 2027 dan dijangka akan menyebabkan trafik di pusat bandaraya semakin sesak.

"LRT adalah kaedah pengangkutan sesuai sebagai langkah penyuraian trafik selain mengkoordinasi sistem pengangkutan di pusat bandaraya JB apabila RTS dan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru beroperasi masing-masing pada 2027 dan 2025," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 mahu kerajaan pusat menyegerakan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan transit aliran ringan (LRT) di bandaraya Johor Bahru berikutan kesesakan kritikal yang berlaku.