Peruntukan masuk melalui PPNK ICU JPM - MP Gua Musang

Mohd Azizi
Mohd Azizi
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengesahkan peruntukan yang diterima selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM).

Beliau berkata, jumlah peruntukan yang diterima itu belum dapat dipastikan.

"Hal ini kerana saya memberikan tumpuan untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi saya belum merujuk perkara tersebut kepada pihak PPNK ICU JPM.

"Saya dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) peruntukan telah masuk melalui PPNK ICU JPM," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu berkata, beliau akan membuat tuntutan ke atas setiap perbelanjaan yang digunakan untuk membantu rakyat.

Ujarnya, segala borang berkait dengan tuntutan tersebut telah dibekalkan kepada beliau.

Mohd Azizi memberitahu, peruntukan yang diterima oleh Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik turut disalurkan melalui PPNK ICU JPM.

Tambahnya, minggu hadapan beliau bersama tiga lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Perdana Menteri akan duduk semeja bagi membincangkan perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 7 November lalu melaporkan, Mohd Azizi daripada PN mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur.