Ahli Parlimen Jeli sahkan terima peruntukan RM300,000

Zahari sahkan sudah menerima peruntukan RM300,000 bagi Parlimen Jeli daripada kerajaan Persekutuan selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Zahari sahkan sudah menerima peruntukan RM300,000 bagi Parlimen Jeli daripada kerajaan Persekutuan selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
A
A
A

JELI - Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengesahkan sudah menerima peruntukan RM300,000 daripada kerajaan Persekutuan selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, wang itu dikreditkan ke akaun Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli pada Rabu dan akan digunakan untuk membiayai keperluan rakyat di kawasan berkenaan bagi tempoh dua bulan.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk program komuniti dalam masyarakat, bantuan untuk pesakit kronik, agihan makanan dan persiapan banjir.

“Setiap ahli Parlimen akan peroleh sebanyak RM3 juta setahun jadi tahun ini tinggal lagi RM300,000 dan saya akan dapat lagi untuk Januari tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli di sini pada Khamis.

Ujar beliau, penyaluran peruntukan untuk ahli Parlimen penting bagi membolehkan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dilaksanakan dengan berkesan seperti yang diharapkan rakyat di Jeli.

Katanya, sejak memenangi kerusi Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada November tahun lalu, banyak permohonan rakyat di Parlimen itu sukar ditunaikannya disebabkan kekangan peruntukan.

"Setahun tempoh menjadi wakil rakyat, sudah rugi begitu sahaja.

"Tak dapat buat apa-apa sebab tak ada peruntukan.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa sedih dan malu berdepan dengan rakyat serta berazam baki lagi empat tahun ini, saya perlu pastikan buat sesuatu untuk mereka,” kata beliau.

Menurut Zahari, beliau akan kekal dengan keputusan untuk menyokong kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar walaupun menerima pelbagai tomahan dan kecaman.

“Saya lakukan ini kerana melihat keperluan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang sudah mengundi saya.

“Tahun ini rakyat Jeli sudah ketinggalan dan akan lebih teruk dalam empat tahun lagi, jika tindakan ini tidak dilakukan.

“Saya meletakkan keutamaan kepentingan rakyat dan tidak kisah diri sendiri dikecam kerana dalam jangka panjangnya rakyat sendiri akan mendapat faedah,” kata beliau.

Sebelum ini, Zahari antara empat ahli Parlimen Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan pendirian itu selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.