Emoji 'buah tembikai' simbol solidariti dengan Palestin

Simbol itu kembali digunakan secara meluas setelah catatan pro-Palestin mula disekat di kebanyakan platform media sosial. - Foto Agensi
Simbol itu kembali digunakan secara meluas setelah catatan pro-Palestin mula disekat di kebanyakan platform media sosial. - Foto Agensi
A
A
A

GENTING GAZA - Suara sokongan dalam talian ke atas Palestin semakin kuat selepas kezaliman rejim Zionis terus menerima kecaman hebat pengguna media sosial.

Kebanyakan platform kini dibanjiri ikon bergambar 'buah tembikai' untuk menzahirkan pendirian jelas terhadap konflik Hamas-Israel.

Ia menjadi simbol solidariti dengan Palestin kerana warna merah, putih, hijau dan hitam yang mewakili bendera Palestin selain buah itu yang melambangkan budaya dan identiti negara.

Difahamkan, buah tembikai ditanam secara meluas di seluruh wilayah Palestin dari Jenin hingga ke Gaza.

Ia turut menjadi simbol penentangan yang digunakan penduduk Palestin untuk membantah penindasan Israel terhadap identiti dan bendera kebangsaan mereka.

Idea penggunaan simbol itu pertama kali muncul pada 1967 selepas rejim Tel Aviv menduduki Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis.

Pihak berkuasa pada masa itu mengeluarkan perintah tentera melarang paparan bendera Palestin di tempat umum malah meletakkan ia sebagai satu kesalahan jenayah di Gaza dan Tebing Barat.

Simbol itu kembali digunakan secara meluas setelah catatan pro-Palestin mula disekat di kebanyakan platform media sosial. - Agensi

Artikel Berkaitan: