Konflik di Palestin isu kemanusiaan, bukan agama - Mufti Perlis

Mohd Asri ketika pada program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk Boikot Produk Zionis: Maslahah @ Mafsadah di Studio Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Asri ketika pada program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk Boikot Produk Zionis: Maslahah @ Mafsadah di Studio Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Konflik yang berlaku di Palestin sehingga mengorbankan ribuan rakyat negara berkenaan perlu dilihat sebagai isu kemanusiaan dan bukan daripada sudut agama semata-mata.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia berikutan sikap segelintir pihak yang dilihat seolah-olah cuba mengelak untuk bersuara dan membahaskan isu tersebut termasuk ahli politik.

Menurutnya, terdapat juga individu beragama Islam atau bukan Islam tidak memboikot dan masih membeli serta menggunakan produk keluaran syarikat yang secara jelas menyatakan sokongan kepada Israel.

“Katakan kalau dunia tiada strategi (boikot), sebagai manusia yang ada simpati, kita tak akan sanggup beli jika tahu orang ini zalim, jahat dan terlibat dengan banyak jenayah walaupun suka makan atau guna barang mereka.

“Selagi mana ia tidak jadi mudarat, tindakan boikot perlu dilakukan apatah lagi jika Muslim. Bagaimana tergamak nak beli sedangkan tahu saudara kita dibunuh beramai-ramai di sana (Palestin)?

“Lebih dukacita, ada yang mengatakan kesian pekerja-pekerja ini kalau boikot dan kata kita perlu jaga negara sendiri. Pelbagai alasan digunakan tanpa dia melihat apa yang berlaku di Palestin,” katanya.

Finaz Yunus (kiri), Mohd Asri Zainul Abidin (tengah) dan Mohd Nazari Ismail pada program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk Boikot Produk Zionis: Maslahah @ Mafsadah di Studio Sinar Harian pada Jumaat.
Finaz Yunus (kiri), Mohd Asri Zainul Abidin (tengah) dan Mohd Nazari Ismail pada program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk Boikot Produk Zionis: Maslahah @ Mafsadah di Studio Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam program Di Sebalik Isu Bersama FY: Boikot Produk Zionis, Maslahah @ Mafsadah yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Turut diundang sebagai panelis ialah Pengerusi Boikot, Pelupusan Pelaburan dan Sekatan (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail manakala Finaz Yunus sebagai hos rancangan.

Tambah Mohd Asri, tindakan masyarakat yang memboikot barangan tersebut merupakan suatu jihad dalam konteks penggunaan harta yang menghalang ia daripada mengalir kepada ekonomi dan kewangan musuh.

“Agama Islam tidak ada menentukan kewajipan untuk boikot atau tidak tapi hanya kata kita perlu beli yang halal untuk dimakan atau perkara dibolehkan di sisi syarak.

“Bagaimanapun, sekurang-kurangnya mereka ini telah melakukan satu jihad harta sebelum kita melihat ia wajib atau tidak. Sudah tentu pahala yang diperoleh kerana sudah berjihad.

“Zaman nabi juga sudah ada boikot ini. Contoh ketua Bani Hanifah, Thumamah Uthal bila masuk Islam dia menyatakan bahawa beliau akan pastikan tiada sebiji gandum pun dari Yamamah akan sampai kepada kaum Quraisy sehingga Nabi Muhammad SAW mengizinkan,” ujarnya.