X

Kindly register in order to view this article
!

Padi musnah dirosakkan ulat putih

Ulat putih atau ulat pengorek (gambar kecil) padi berleluasa menyerang tanaman di Seberang Perak hingga menjejaskan sumber pendapatan pesawah musim ini.
A
A

PASIR SALAK - Lebih 2,000 petani di Seberang Perak di sini hampa apabila sawah seluas 5,000 hektar yang diusahakan mereka rosak akibat serangan ulat pengorek batang padi (chilo suppressalis).

Pesawah, Mazlan Azhar, 57, berkata, serangan makhluk perosak yang digelar sebagai ulat putih itu menjejaskan hampir 70 peratus hasil pendapatan mereka pada musim ini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan petani mengalami kerugian berikutan hasil yang diperoleh sangat minimum malah, ada yang terpaksa menanggung hutang.

"Serangan ulat putih ini berlaku sejak Oktober lalu. Bukan itu sahaja, kami berhadapan dengan serangga cenangau serta tumbuhan rumput yang lebih dominan di sawah ini. Ia berlaku secara serentak.

"Pelbagai usaha dilakukan termasuk meracun secara bersepadu dengan menggunakan dron serta membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli racun. Racun diguna dua kali ganda tetapi ia tidak berhasil seolah-olah ulat ini sudah imun," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Mazlan berkata, pengairan petak sawah dipercayai menjadi punca serangan makhluk perosak itu selain kelewatan mendapat benih sehingga terpaksa menempah dari negeri lain termasuk Kedah dan Johor.

"Benih kami dapat lambat, sepatutnya tabur bulan Ogos, tetapi September baru dapat. Pengairan petak sawah lewat juga memainkan peranan.

"Dua faktor ini menyebabkan kami berhadapan dengan pelbagai masalah penyakit padi. Musim lalu kami rehat lima bulan disebabkan kelewatan sistem pengairan dan agihan benih.

"Sepatutnya waktu ini kami sudah selesai tuai dan sudah mendapat hasil yang boleh digunakan untuk belanja persekolahan anak-anak. Dengan keadaan sekarang ini, pendapatan kami tidak rancak dan modal pusingan pun tiada," katanya.

Mazlan Azhar (kiri) dan Saifuddin Mohd Shod.
Mazlan Azhar (kiri) dan Saifuddin Mohd Shod.

Petani muda, Saifuddin Mohd Shod, 40, berkata, dia yang mengusahakan tanaman padi sejak empat tahun lalu jarang berdepan masalah serangan ulat putih sebelum ini.

“Dari jauh nampak elok, tetapi sebenarnya tak ada apa-apa. Bila padi masak, tengok-tengok dalam tu kosong dan tiada isi, jadi padi hampa.

"Kami minta Jabatan Pertanian dapat mengikut jadual asal agar mempercepatkan kemasukan air dan penyediaan benih pada musim depan," katanya.

Dengan serangan makhluk perosak ini, Saifuddin mengharapkan pihak syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dapat memberi kelonggaran berkaitan pemotongan gred padi.

Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari ketika dihubungi mengambil maklum perkara itu dan menunggu laporan penuh daripada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.

Pesawah menggesa kerajaan untuk membantu menyelesaikan serangan makhluk perosak berikutan penggunaan racun yang tidak memberi kesan.
Pesawah menggesa kerajaan untuk membantu menyelesaikan serangan makhluk perosak berikutan penggunaan racun yang tidak memberi kesan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus