'Masih ramai tidak patuh undang-undang jalan raya'

Pegawai JPJ melakukan pemeriksaan pada kenderaan barangan dalam Ops Khas Teknikal di Plaza Tol Juru, pada Khamis malam.
Pegawai JPJ melakukan pemeriksaan pada kenderaan barangan dalam Ops Khas Teknikal di Plaza Tol Juru, pada Khamis malam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Syarikat atau pemilik kenderaan perkhidmatan awam dan barangan digesa untuk memantau sikap pemandu mereka yang gagal mematuhi undang-undang ketika berada di atas jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Datuk Adenan Md Isa berkata, berdasarkan statistik Ops Patuh Bersepadu yang dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi lain sepanjang tahun ini mendapati masih banyak peraturan dan kesalahan dikesan dilakukan oleh pemandu termasuk tiada lesen memandu kompeten (CDL) serta lesen vokasional.

Beliau berkata, meskipun ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai lesen memandu yang sah selain tiada perlindungan insuran serta Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh namun pemandu mereka masih berani memandu dan menggunakan jalan raya seolah-olah mencabar undang-undang negara.

"Melalui Ops Patuh Bersepadu yang dijalankan bermula Januari sehingga Jumaat, kita telah memeriksa 37,792 kenderaan perkhidmatan awam dan barangan yang mana daripada jumlah itu sebanyak 7,781 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Adenan ketika ditemui media selepas meninjau Ops Khas Teknikal di Plaza Tol Juru, pada Khamis malam.
Adenan ketika ditemui media selepas meninjau Ops Khas Teknikal di Plaza Tol Juru, pada Khamis malam.

"Sikap pemandu mereka yang memandu secara melulu serta berbahaya selain melakukan tujuh kesalahan utama apabila berada di atas jalan raya seperti potong Q secara berbahaya, tidak patuh lampu isyarat serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu amat kita kesalkan.

"Sudah banyak kejadian kemalangan dilaporkan sebelum ini yang berpunca daripada sikap dan cara pemanduan kenderaan perkhidmatan awam dan barangan namun ia seperti tidak memberi pengajaran kepada pemandu dan syarikat pemilik kenderaan," katanya ketika ditemui media di lokasi sekatan jalan raya Ops Khas Teknikal di Plaza Tol Juru, pada malam Khamis.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, sebanyak 1,887 notis dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas kesalahan teknikal termasuk tidak selenggara kenderaan (394), cermin gelap (365), ubah suai (255) dan menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi (185).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain berdepan tindakan saman yang dikeluarkan terhadap pemandu, syarikat terlibat juga boleh digantung permit untuk satu tempoh ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekiranya gagal mematuhi undang-undang jalan raya.

Pegawai JPJ memeriksa tayar salah sebuah lori yang ditahan dalam Ops Khas Teknikal di Plaza Tol Juru, pada Khamis malam.
Pegawai JPJ memeriksa tayar salah sebuah lori yang ditahan dalam Ops Khas Teknikal di Plaza Tol Juru, pada Khamis malam.

Dalam pada itu, Adenan berkata, sikap pemandu yang berterusan menggunakan lorong kanan juga boleh mengundang bahaya malah boleh didenda RM300 sekiranya perbuatan itu dapat dikesan.

Beliau berkata, kebanyakan kemalangan melibatkan kenderaan pengangkutan awam dan barangan berpunca daripada sikap pentingkan diri pemandu membawa laju dengan berterusan menggunakan lorong kanan.

"Sepanjang tahun ini sahaja sebanyak lima daripada 19 kemalangan melibatkan kenderaan pengangkutan awam dan barangan dilaporkan berlaku di Pulau Pinang.

"Kita mahu syarikat dan pemilik kenderaan ini supaya pantau pemandu mereka melalui GPS yang telah dipasang di kenderaan dan tolong juga semak aduan yang telah dibuat oleh orang ramai bagi memastikan pemandu mereka ikut peraturan yang ditetapkan," tegasnya.