Ramai pasangan muda bercerai

Kadar perceraian tertinggi di Malaysia didapati menerusi laporan statistik perkahwinan dan perceraian oleh DOSM yang dikeluarkan pada Khamis. - Gambar hiasan
Kadar perceraian tertinggi di Malaysia didapati menerusi laporan statistik perkahwinan dan perceraian oleh DOSM yang dikeluarkan pada Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kadar perceraian di negara ini menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun 2022.

Ia merupakan peningkatan sehingga 43.1 peratus dan kadar tertinggi yang direkodkan sejak tahun 2016.

Mengikut statistik tersebut, perceraian pasangan Islam meningkat 45.8 peratus pada tahun lepas iaitu 46,138 kes berbanding 2021 sebanyak 31,650 kes, manakala perceraian bukan Islam juga meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 kes kepada 16,752 kes bagi tempoh sama.

Lebih membimbangkan berdasarkan statistik perkahwinan dan perceraian tersebut, kadar perceraian tertinggi berlaku dalam kalangan pasangan yang masih muda iaitu di bawah usia 39 tahun.

Menurut laporan tersebut, kes perceraian tertinggi bagi lelaki Islam adalah melibatkan kumpulan umur 30 hingga 34 tahun iaitu sebanyak 9,196 orang.

Ia diikuti dengan kumpulan umur 35-39 tahun iaitu seramai 8,894 orang, manakala kumpulan ketiga tertinggi ialah 25-29 iaitu seramai 6,757 orang. Sebagai perbandingan kes perceraian lelaki Islam berusia 50-54 tahun cuma sekitar 2,959 kes dan 55-59 tahun seramai 2,084 orang.

Sementara itu, bagi kes perceraian wanita Islam pula kelompok usia tertinggi juga pada umur 30-34 tahun iaitu seramai 9,631 orang, diikuti kumpulan usia lebih muda iaitu 25-29 tahun sebanyak 8,713 orang dan seterusnya julat usia 35-39 tahun seramai 8,676 orang.

Sebagai perbandingan, jumlah perceraian bagi wanita Islam lebih berusia iaitu dalam kumpulan 50-54 tahun cuma sekitar 2,369 orang dan 55-59 tahun seramai 1,523 orang.

Artikel Berkaitan:

Kedah catat kes cerai tertinggi

Dalam pada itu, tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian pasangan Islam iaitu Kedah (113.6 peratus), Sabah (94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus), manakala bagi bukan Islam di Putrajaya (500 peratus), diikuti Johor (61.5 peratus) dan Melaka (59.0 peratus).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut disebabkan oleh kes yang dibawa ke hadapan daripada tahun sebelumnya.

“Selari dengan peningkatan bilangan perceraian, kadar perceraian am menunjukkan peningkatan bagi lelaki daripada 6.1 pada tahun 2021 kepada 8.7 pada 2022 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin.

“Trend yang sama juga direkodkan bagi perempuan, meningkat daripada 6.2 (2021) kepada 8.9 (2022) bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, laporan sama turut mendedahkan satu lagi trend membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, apabila bilangan perkahwinan yang direkodkan di negara ini menurun 0.5 peratus daripada 215,973 pada 2021 kepada 214,824 pada tahun lepas.

Umur penengah pengantin lelaki kekal 28 tahun, manakala perempuan meningkat kepada umur 27 tahun berbanding 26 tahun pada 2021.

Penurunan bilangan perkahwinan disumbangkan oleh penurunan 4.1 peratus bilangan perkahwinan orang Islam sebanyak 168,726 berbanding 176,002 bagi tempoh sama.

Tiga negeri menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam iaitu Putrajaya, diikuti Perak dan Terengganu.