Bilangan perkahwinan menurun, perceraian meningkat

Bilangan perkahwinan penduduk negara ini merekodkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. - Gambar hiasan 123rf
Bilangan perkahwinan penduduk negara ini merekodkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan perkahwinan penduduk negara ini merekodkan penurunan sebanyak 0.5 peratus iaitu 214,824 pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya, 215,973.

Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut mendedahkan bilangan perceraian melonjak sebanyak 43.1 peratus.

Jumlah perceraian pada tahun 2022 adalah 62,890 berbanding 43,936 pada tahun 2021.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 4.1 peratus bilangan perkahwinan Orang Islam pada 2022 iaitu 168,726 berbanding 176,002 pada tahun 2021.

Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam adalah Putrajaya iaitu 19.6 peratus diikuti Perak (12.8) dan Terengganu (11.3).

"Umur penengah pengantin lelaki kekal pada usia 28 tahun manakala umur penengah pengantin perempuan meningkat kepada usia 27 tahun berbanding usia 26 tahun pada 2021," katanya pada Khamis.

Menurut beliau, daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi iaitu 8,602.

"Ia diikuti Johor Bahru, Johor (7,770) dan Ulu Langat, Selangor (6,347)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, statistik menunjukkan 2.9 peratus pengantin lelaki berumur 65 tahun ke atas telah mengahwini pengantin perempuan yang lebih muda dalam kumpulan usia 24 tahun ke bawah.

"3.5 peratus pengantin perempuan berumur 65 tahun dan lebih telah berkahwin dengan pengantin lelaki dalam kumpulan umur 24 tahun ke bawah," katanya.

Statistik juga menunjukkan umur pengantin lelaki paling tua adalah 92 tahun manakala pengantin wanita paling tua pada usia 86 tahun.

Ujar Mohd Uzir, peningkatan 45.8 peratus penceraian orang Islam adalah disebabkan oleh kes-kes yang di bawa ke hadapan daripada tahun sebelumnya.

"Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah sebanyak 113.6 peratus, Sabah (94.5) dan Perlis (83.5)," katanya.

Jelas beliau, kumpulan umur 35 hingga 39 merekodkan perceraian tertinggi bagi lelaki manakala wanita pula di usia 30 hingga 34 tahun.

"Kadar perceraian am meningkat bagi lelaki Islam daripada 7.1 pada tahun 2021 kepada 10.4 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki Islam berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin pada 2022.

"Kadar perceraian am bagi perempuan Islam turut mencatatkan peningkatan kepada 10.6 berbanding 7.3 untuk tempoh sama bagi setiap 1,000 penduduk perempuan Islam berumur 16 tahun ke atas," katanya.

Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah diikuti Sabah dan Perlis.
Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah diikuti Sabah dan Perlis.

Sementara itu, beliau berkata perkahwinan penduduk bukan Islam merekodkan peningkatan 15.3 peratus daripada 39,971 tahun sebelumnya kepada 46,098 tahun 2022.

"Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan tertinggi perkahwinan orang bukan Islam iaitu Terengganu sebanyak 40.2 peratus, disusuli Johor (26.6) dan Negeri Sembilan (21.1)," ujar beliau.

Menurutnya, segmen perceraian orang bukan Islam juga meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 (2021) kepada 16,752 (2022).

"Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian adalah Putrajaya sebanyak 500 peratus, diikuti Johor (61.5) dan Melaka (59.0)," katanya.

Selari dengan peningkatan bilangan perceraian, Mohd Uzir berkata, kadar perceraian am menunjukkan peningkatan bagi lelaki daripada 6.1 (2021) kepada 8.7 (2022) bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin.

"Trend yang sama juga direkodkan bagi perempuan, meningkat daripada 6.2 (2021) kepada 8.9 (2022) bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan ke atas," katanya.