Perjalanan panjang Harimau Malaya

Perancang Harimau Malaya, Paulo Josue (tengah) diasak pemain Taiwan dalam aksi di Stadium Municipal Taipei pada Selasa lalu.
Perancang Harimau Malaya, Paulo Josue (tengah) diasak pemain Taiwan dalam aksi di Stadium Municipal Taipei pada Selasa lalu.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya harus mengekalkan momentum cemerlang selepas meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan dalam aksi Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Harimau Malaya tampil dengan persembahan terpuji dalam kedua-dua aksi tersebut sehingga membuka peluang buat mereka mara ke pusingan ketiga.

Namun, beliau menegaskan, perjalanan anak-anak buah Kim Pan-gon itu masih panjang dalam misi mereka mencipta sejarah melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2026.

“Pasukan negara sudah mengumpul enam mata dan 'separuh jalan' lagi untuk mendapatkan 12 mata minimum. Saya rasa ia tidak mustahil walaupun lawan kita akan datang ialah Oman.

“Kita perlu cuba seri di Oman dan di laman sendiri perlu untuk capai keputusan positif. Kekalahan Oman kepada Kyrgyzstan juga sedikit sebanyak membantu kita.

“Jadi jika dapat capai keputusan positif dengan Oman dalam kedua-dua perlawanan pada Mac tahun depan, mungkin kita boleh melihat tempat ke pusingan seterusnya (ketiga).

“Apa yang penting kita perlu kekalkan momentum cemerlang ini dan dalam masa sama memperbaiki beberapa kelemahan yang ada dalam tempoh yang agak panjang ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Mengikut jadual, Malaysia akan menyambung perjuangan menentang Oman di laman lawan pada 21 Mac 2024 sebelum bertemu pasukan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.

Artikel Berkaitan:

Skuad Harimau Malaya kini berada di kedudukan teratas Kumpulan D selepas kejayaan membenam Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan menewaskan Taiwan 1-0 di Stadium Municipal Taipei pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Irfan Bakti turut melihat beberapa kelemahan yang mungkin boleh diatasi barisan kejurulatihan dalam tempoh kurang empat bulan sebelum bertemu Oman.

“Kalau kita tengok perlawanan menentang Taiwan, kita ada banyak peluang yang dicipta bahagian serangan. Itu memang bagus, tetapi masalah kita adalah lambat untuk 'recover' balik.

“Keduanya barisan pertahanan itu juga perlu diperkemaskan lagi selain di bahagian serangan itu... kalau ada peluang (menjaringkan gol) jangan lepaskan.

“Saya percaya kesemua ini sudah dalam perhatian Pan-gon. Selepas ini kita akan ada lagi perlawanan persahabatan dan Piala Asia yang boleh digunakan untuk penambahbaikan,” ujarnya.