MFL harap 14 pasukan kekal dalam Liga Super

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tetap menaruh harapan agar 14 pasukan kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Ia selepas satu lagi pasukan iaitu Kelantan FC masih belum memenuhi syarat First Instance Body (FIB) untuk mendapat lesen kebangsaan selain pasukan Liga M3 juga tidak diberikan lesen tersebut untuk naik pangkat ke Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, nasib Kelantan FC hanya boleh ditentukan oleh pasukan itu sendiri dan mereka perlu berusaha untuk memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

"Kita harap Liga Super masih ada 14 pasukan dan slot ke-14 itu berada dalam pasukan itu sendiri. Selepas tarikh akhir 31 Disember nanti, saya jawab soalan itu (sama ada Liga Super kekal 14 pasukan).

"Buat masa ini, MFL selaku badan organisasi Liga Malaysia (Liga M) mengharapkan slot ke-14 itu masih diisi Kelantan FC jika mereka boleh memenuhi syarat seperti dibentangkan FIB.

"Jika mereka gagal selesaikan syarat seperti yang dinyatakan FIB, secara automatik Kelantan FC menyingkirkan pasukan mereka sendiri dari Liga Super," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Sebelum ini, pengerusi badan bebas FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengesahkan tiada pasukan dari Liga M3 dapat bermain di Liga Super kerana tidak menerima lesen kebangsaan.

"Tujuh kelab dari Liga M3 iaitu Imigresen FC, KL Rovers FC, Harini Selangor FT, Armed Forces FC, Perlis United FC, Melaka FC dan Sarawak United FC telah memohon lesen kebangsaan 'Extraordinary' bagi kitaran pelesenan tahun 2023 untuk Lesen Kebangsaan Liga Super musim 2024 – 2025.

Artikel Berkaitan:

"Namun, kesemua tujuh kelab tersebut tidak diberikan lesen kebangsaan selepas keputusan yang telah dibuat FIB," katanya.