Perak FC azam baiki kedudukan, elak tersingkir Liga Super

No Image Caption
A
A
A

PERAK FC yang kini dalam kedudukan bahaya tersingkir ke saingan Liga M3 yakin dapat memperbaiki kedudukan menerusi baki perlawanan separuh kedua musim ini.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, beberapa rombakan dilakukan termasuk kakitangan kejurulatihan, pertukaran pemain dan penstrukturan semula strategi menjadikan pasukan itu lengkap dan bermotivasi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

"Perak FC telah mengharungi pelbagai cabaran dari awal pembabitan sehingga kini dan harus mengakui bahawa kami belum cukup berpengalaman dalam pengurusan bola sepak.

"Bagaimanapun yakinlah, Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Eksekutif dan Pengurusan Perak FC yang terdiri golongan profesional berpengalaman luas dalam urusan serta perniagaan, sudah semestinya cepat mengadaptasi pengurusan industri bola sepak yang berkembang sejajar dengan era modenisasi kini," katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, empat pasukan tercorot Liga Super ketika ini, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC dan Perak FC kini dalam bahaya selepas Liga Bola Sepak (MFL) mengesahkan kedudukan dua tercorot Liga Super boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

Perak FC yang berada pada kedudukan 11 liga dilihat lebih baik sedikit dengan tiga kemenangan untuk mengutip 13 mata, Kuching City FC dan Kelantan United sekadar tujuh mata manakala Kelantan FC mengumpul lima mata dengan satu kemenangan sahaja setakat ini.

Abdul Azim berkata, pihaknya sedia maklum mengenai amaran tersebut dan bersetuju bahawa penyingkiran adalah kebimbangan utama bagi pihak pengurusan walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu.

Katanya, penghargaan perlu diberikan kepada penyokong The Bos Gaurus dan kerajaan negeri melalui agensinya seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) serta Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang sentiasa menyatakan sokongan kepada Perak FC.

"Untuk separuh kedua musim ini, kami akan melakukan segala yang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan di pertengahan liga, menempa pencapaian sejauh yang boleh dalam saingan Piala Malaysia," katanya.