Nur Syaiful sambar RM110,000, Sivasangari raih RM100,000

Hannah (tengah) bergambar bersama barisan atlet yang menerima Shakam bagi temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di sebuah hotel di Subang, Selangor sebentar tadi. - Foto Bernama
Hannah (tengah) bergambar bersama barisan atlet yang menerima Shakam bagi temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di sebuah hotel di Subang, Selangor sebentar tadi. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET para renang negara, Nur Syaiful Zulkafli muncul selaku penerima terbanyak Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) hasil kejayaannya meraih satu emas dan satu gangsa pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022.

Dengan kejayaannya itu, Nur Syaiful yang turut mencipta satu rekod Sukan Para Asia dalam acara SB4 100 meter (m) kuak dada membawa pulang keseluruhan wang tunai berjumlah RM110,000.

Pada temasya Sukan Para Hangzhou 2022 itu, Nur Syaiful memenangi emas acara 100m kuak dada SB4 yang membolehkan dia menerima RM80,000 selain gangsa 100m gaya bebas S5 (RM20,000).

Nur Syaiful turut menerima insentif tambahan sebanyak RM10,000 susulan kejayaannya memecahkan rekod temasya Sukan Para Asia bagi acara kuak dada SB4.

S Sivasangari pula menjadi penerima terbanyak Shakam bagi temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila memperoleh wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000.

Ia berdasarkan kejayaan pemain skuasy wanita negara itu meraih dua pingat emas - masing-masing dalam acara individu dan berpasukan.

Jumlah keseluruhan bayaran insentif Shakam dan Skim Galakan Kejurulatihan (SGAR) bagi Sukan Asia adalah RM1,473,600 yang menyaksikan kem skuasy meraih muncul penerima terbanyak iaitu RM360,000.

Bagi temasya Sukan Para Asia, jumlah keseluruhan bayaran intensif Shakam dan SGAR adalah RM1,830,000 dengan menyaksikan skuad olahraga menjadi penerima terbanyak iaitu RM490,000.

Artikel Berkaitan:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah keseluruhan ganjaran Shakam untuk pemenang pingat pada kedua-dua temasya berkenaan berjumlah hampir RM2.8 juta.

"Bagi menghargai jasa dan sumbangan jurulatih, kita juga menyerahkan insentif menerusi SGAR berjumlah hampir RM550,000 untuk kedua-dua temasya tersebut," katanya.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran dengan membawa pulang 32 pingat (enam emas, lapan perak dan 18 gangsa) pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Kontinjen para turut melepasi sasaran ditetapkan apabila memenangi keseluruhan 39 pingat (tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa) pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!