Kejohanan Muay thai uji atlet bandar dua negara

Zainol Fadzi (duduk, tengah) menunjukkan poster kejohanan yang akan mempertemukan atlet muay thai dari dua negara, Malaysia dan Thailand pada 26 Ogos depan di Ipoh.
Zainol Fadzi (duduk, tengah) menunjukkan poster kejohanan yang akan mempertemukan atlet muay thai dari dua negara, Malaysia dan Thailand pada 26 Ogos depan di Ipoh.
A
A
A

SATU kejohanan muay thai yang mempertemukan jaguh bandar dua negara melibatkan Malaysia dan Thailand bakal diadakan pada 26 Ogos depan di Bandaraya Ipoh.

Penaung Persatuan Muay Thai Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perlawanan melibatkan lima atlet muay thai Ipoh dan Betong, Thailand itu julung kali diadakan sempena Tahun Melawat Ipoh.

Menurutnya, kejohanan itu akan berlangsung selama sehari bermula jam 8.30 malam di Akademi Muay Thai Headhunters Ipoh dekat sini.

"Sebenarnya sudah lama kita tidak adakan kejohanan besar seperti ini di negeri Perak dan kali ini pastinya menarik kerana kita mempertaruhkan juara kejohanan dunia dan atlet kebangsaan.

"Saya pasti kejohanan ini pasti dinanti-nantikan oleh semua peminat muay thai di negara ini dan kita alu-alukan orang ramai untuk menonton secara langsung kejohanan ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Akademi Muay Thai Headhunters Ipoh di sini pada Sabtu.

Zainol Fadzi berkata, tiket dijual secara fizikal dengan harga hanya RM25 dan dianggarkan lebih 300 penonton bakal menyaksikan kejohanan tersebut.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai Kebangsaan, Benard Radin berkata, kejohanan itu nanti bakal menguji lima atletnya, Muhammad Rifdean Masdor, Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli, Raja Izzati Raja Annuar, Nur Amisha Azrilzal dan Muhammad Amirul Adli Sale' Meha.

Menurutnya, mereka merupakan atlet bertaraf kebangsaan malah sebahagiannya bertaraf antarabangsa yang bakal mempersembahkan prestasi terbaik menentang jaguh dari negara jiran itu.

Jelasnya, sebanyak lima kategori akan dipertandingkan mengikut berat iaitu 57kg, 54kg dan 51kg bagi lelaki manakala 51kg dan 48kg bagi wanita.