Bagan Datuk agropelancongan pertama guna pendekatan TICER

Saarani menanam anak pokok kelapa hibrid jenis Careni sebagai simbolik perasmian Laman Perak Sejahtera 2030 di Taman Agroteknologi Mardi Bagan Datuk pada Khamis.
Saarani menanam anak pokok kelapa hibrid jenis Careni sebagai simbolik perasmian Laman Perak Sejahtera 2030 di Taman Agroteknologi Mardi Bagan Datuk pada Khamis.
A
A
A

BAGAN DATUK - Taman Agroteknologi Mardi (TATM) Cocostourism di Bagan Datuk menjadi agropelancongan pertama menggunakan pendekatan T.I.C.E.R iaitu Technology (teknologi), Innovation (inovasi), Conservation (konservasi), Education, (pendidikan) dan Recreation (rekreasi).

Taman seliaan sepenuhnya oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) itu mengkhususkan kepada penyelidikan tanaman kelapa dan produk berasaskan kelapa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, taman berkeluasan 160 hektar itu turut menyediakan demo pendebungaan berbantu bagi menghasilkan benih kelapa hibrid, penghasilan kelapa telur mengunakan pisau tanduk, penghasilan minyak kelapa dara (VCO) serta penghasilan cocopeat dan cocofiber sebagai tarikan utama.

"Pengunjung yang hadir juga boleh mendapatkan jualan benih kelapa rendah (dwarf) dan kelapa hibrid, selain melihat lebih dekat laman ternakan yang menempatkan kambing baka biri-biri jenis Barbados Blackbelly, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meramsikan Laman Perak Sejahtera 2030 di Taman Agroteknologi Mardi Bagan Datuk di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Mardi Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob.

Saarani berkata, pembangunan Laman Perak Sejahtera 2030 dengan kos RM180,000 itu diyakini bakal menjadi satu lagi lokasi tumpuan bagi aktiviti agropelancongan dan pembangunan bandar Maritim Wilayah Perak Selatan.

Katanya, menerusi laman itu, pengunjung didedahkan dengan produk kelapa dan sampingan yang dihasilkan Mardi Bagan Datuk, sesuai dengan peranan institut itu sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Kelapa.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan ini merupakan satu lagi insiatif kerajaan negeri dalam menyemarakkan Tahun Melawat Perak 2024," katanya.

Laman Sejahtera Perak 2030 mula dibina pada 11 Julai lalu dan telah dibuka kepada umum bermula November ini setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

Tiga pakej lawatan ditawarkan dengan harga tiket serendah RM5 hingga RM20.