[VIDEO] Guru didakwa amang seksual murid perempuan Tahun Empat

A
A
A

IPOH - Seorang guru muzik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid perempuan Tahun Empat, Jun dan Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazmi Mohamed Nazri, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mohamad Nazmi dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual terhadap murid perempuan Tahun Empat pada Jun dan Julai lalu.
Mohamad Nazmi dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual terhadap murid perempuan Tahun Empat pada Jun dan Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun enam bulan dengan cara menyentuh kemaluan mangsa bagi maksud seksual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik muzik sebuah sekolah di sini sekitar jam 9.45 pagi pada Jun lalu.

Bapa kepada tiga anak itu juga turut didakwa melakukan perbuatan sama sekitar jam 10.30 pagi di lokasi sama, Julai lalu.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis tidak lebih dari tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi akan menganggu mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam, Syahrul Nizam Mohd Rabi memohon mahkamah memberikan jaminan berikutan anak guamnya tidak pernah melakukan kacau ganggu kepada saksi pendakwaan selepas aduan dilakukan selain menghidap sakit jantung dan anemia.

"Sekiranya sesuai dikenakan syarat tambahan dengan tidak menganggu mangsa, pihak kami tiada bantahan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran.

"Kami juga memohon supaya syarat jamin dalam kalangan ahli keluarga dikecualikan," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Disember depan untuk sebutan semula kes.