Agenda kerjasama PN, mekanisme baharu Muhyiddin jadi perhatian

Isu kerjasama Bersatu dengan Pas dalam PN serta sokongan empat ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri dijangka antara agenda menarik sempena perhimpunan agung tahunan parti itu yang berlangsung bermula hari ini. - Foto Bernama
Isu kerjasama Bersatu dengan Pas dalam PN serta sokongan empat ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri dijangka antara agenda menarik sempena perhimpunan agung tahunan parti itu yang berlangsung bermula hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia Malaysia (Bersatu) yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 November 2023 ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pastinya akan membincangkan beberapa agenda penting yang melibatkan hala tuju parti tersebut.

Antara agenda yang paling menarik perhatian tentunya berkaitan isu kerjasama dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) serta sokongan empat ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Ahad lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian mendedahkan bahawa satu mekanisme baharu akan diperkenalkan bagi memastikan semua ahli Parlimen Bersatu kekal istiqamah dengan perjuangan dan dasar parti.

Langkah itu susulan bagi mengelakkan berulang lagi tindakan dilakukan empat ahli Parlimen Bersatu itu melibatkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Mengulas mengenai hubungan Bersatu dengan Pas dalam PN pula, media melaporkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad pada Isnin berkata, Pas sentiasa komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan parti lain dalam PN pada masa depan.

Ujar beliau, terdapat banyak percubaan pihak tertentu yang mahu melihat Pas berbalah dan keluar daripada PN.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan sokongan rakyat terhadap Pas dianggap sudah 'tepu' sebelum parti itu menjalinkan kerjasama membentuk PN.

Selain itu, usul meminda perlembagaan bagi menambah baik urusan pentabiran Bersatu yang akan dibentangkan dalam perhimpunan berkenaan juga akan menjadi perhatian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin merangkap Pengerusi Jawatankuasa PAT Bersatu 2023 berkata, usul itu juga adalah selaras dengan tumpuan atau tema persidangan tahunan kali keenam, iaitu tekad memperjuang semangat parti demi kesejahteraan rakyat serta negara.

Radzi dalam sidang media pada Isnin itu juga berkata bahawa usul pindaan perlembagaan parti itu hanya berhubung perkara asas pentadbiran Bersatu dalam memperkukuhkan parti itu dan tiada kaitan dengan isu anti lompat parti.

Di samping itu, menurut beliau, usul lain yang juga akan dibentangkan pada persidangan kali ini adalah berkaitan keadaan di Palestin.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dijangka mungkin akan menjadi platform bagi parti tersebut menegaskan pendirian berhubung kerjasama dengan Pas dalam PN sekali gus menokhtahkan tohmahan pihak-pihak tertentu tentang gabungan berkenaan.