Sektor hutan negara sumbang RM6.601 bilion dalam KDNK

Litupan kawasan berhutan setakat 31 Disember 2021 adalah seluas 18.05 juta hektar atau 54.6 peratus daripada keluasan tanah negara. - Foto Bernama
Litupan kawasan berhutan setakat 31 Disember 2021 adalah seluas 18.05 juta hektar atau 54.6 peratus daripada keluasan tanah negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor perhutanan negara memberi impak positif daripada aspek ekonomi dengan menyumbang sejumlah RM6.601 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Menurut laporan itu, jumlah berkenaan merupakan 0.4 peratus daripada KDNK keseluruhan negara bernilai RM1,544.214 bilion dan eksport industri perkayuan menyumbang sejumlah RM22.744 bilion pada tahun 2021.

"Secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan, pengurusan hutan di Malaysia telah diurus secara berkekalan bagi memberi manfaat sosioekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

"Litupan kawasan berhutan setakat 31 Disember 2021 adalah seluas 18.05 juta hektar atau 54.6 peratus daripada keluasan tanah negara selaras dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dengan litupan kawasan berhutan,” menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat pada Rabu.

Bagaimanapun, berdasarkan sampel audit yang disemak di sembilan negeri, terdapat kes kelemahan pengurusan hutan bagi aktiviti pembalakan, pembangunan ladang hutan, perlombongan dan kuari di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) telah memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Selain itu, hasil temu bual audit menunjukkan 188 responden komuniti Orang Asli/asal bersetuju bahawa aktiviti perhutanan di sekitar penempatan mereka memberi impak negatif terhadap keadaan sungai, aktiviti ekonomi setempat dan sosiobudaya.

Terdapat beberapa cadangan yang disyorkan pihak audit bagi memastikan objektif Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) tercapai antaranya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) perlu melaksanakan proses pengumpulan dan verifikasi data kawasan berhutan nasional secara tahunan dengan mewujudkan pangkalan data yang lengkap mengenai HSK, kawasan perlindungan dan hutan tanah kerajaan.

"Selain itu, NRECC perlu meningkatkan kerjasama antara kerajaan negeri dalam menyediakan hala tuju atau pelan tindakan bagi pelaksanaan PHSB melalui tadbir urus yang baik dan amalan terbaik bagi memastikan sektor perhutanan terus menyumbang ke arah pencapaian pembangunan lestari negara.

Artikel Berkaitan:

"JPSM, JHS, JPS dan agensi penguat kuasa terlibat meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan setiap projek pembangunan di kawasan berhutan mematuhi syarat pembangunan yang ditetapkan termasuk aspek pematuhan alam sekitar,” menurut laporan itu. - Bernama