Lebihan pembiayaan RM189.13 juta dalam program Tekun Nasional - LKAN

Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun). - Foto hiasan/Bernama
Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun). - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan dana dan aktiviti pembiayaan bagi lima program atau skim di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional adalah kurang memuaskan termasuk terdapat dana disalurkan melebihi peruntukan ditetapkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Menurut laporan itu, sejumlah RM395 juta dana yang diperuntukkan bagi 11 program diterima setakat 31 Disember 2021 dan dana bagi dua program disalurkan kepada usahawan mengikut peruntukan iaitu Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) 2.0 dan Skim Pembiayaan Usahawan Informal (SPIN 2.0).

"Dana bagi tiga program yang telah disalurkan kepada usahawan melebihi peruntukan adalah Tekun - Bumiputera dengan lebihan RM174.63 juta, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) (RM10.44 juta) dan Tekun Mobilepreneur 4.0 (RM4.06 juta).

"Peruntukan berjumlah RM325 juta yang diterima bagi lima program ini telah disalurkan sepenuhnya kepada usahawan dalam tempoh dua hingga lapan bulan.

"Terdapat dana dalaman berjumlah RM39.13 juta yang digunakan tidak dapat ditentukan telah mendapat kelulusan Lembaga Amanah, Kementerian Kewangan atau Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta dana bagi enam program pula kurang disalurkan kepada usahawan,” menurut laporan itu.

Laporan sama turut memaklumkan terdapat 13 daripada 80 sampel usahawan tidak mengisi borang permohonan dengan lengkap dan 17 daripada 80 sampel usahawan tidak mengemukakan dokumen sokongan dengan lengkap dengan jumlah pembiayaan yang terlibat ialah RM0.74 juta.

"Selain itu, Tekun Nasional tidak mempunyai sistem keselamatan yang ampuh bagi mengelakkannya daripada digodam. Permohonan telah diproses walaupun maklumat atau dokumen sokongan tidak lengkap. Pengurusan kelulusan pembiayaan juga adalah baik.

"Sebanyak 56 (70 peratus) usahawan telah lewat diproses sehingga 50 hari bekerja melibatkan pembiayaan berjumlah RM0.97 juta, dan 13 usahawan SPIN 2.0 diluluskan tempoh bayaran balik melebihi ketetapan,” menurut laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagi meningkatkan pengurusan dana dan aktiviti pembiayaan Tekun Nasional, pihak pengurusan dan Lembaga Amanah Tekun Nasional perlu mengambil langkah yang berkesan bagi menangani kelemahan yang dibangkitkan dalam laporan ini.

"Antara syor pihak audit adalah kehilangan data perlu dielakkan dengan penyediaan pangkalan data sokongan dan menjalankan aktiviti penyalinan data secara berkala, serta pembangunan rancangan pemulihan bencana.

"Selain itu, memastikan usahawan yang menerima pembiayaan Tekun Nasional mempunyai potensi meneruskan perniagaan, dan mempunyai sejarah rekod kredit yang baik untuk membuat bayaran balik. Pengiraan skor kredit perlu mengambil kira tanggungan lain usahawan, dan sistem Keupayaan Bayaran Balik (DSR) perlu dikemas kini dengan tepat,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu juga, pihak Tekun Nasional boleh meningkatkan usaha untuk mengutip bayaran balik mengikut tempoh ditetapkan melalui tindakan penguatkuasaan seperti lawatan ke rumah/premis, pengeluaran Notis Tuntutan (NOD) serta tindakan litigas.

"Mengkaji semula polisi berkaitan pembiayaan kedua atau seterusnya bagi memastikan usahawan berkebolehan untuk membuat pembayaran balik pembiayaan pertama sebelum pembiayaan seterusnya dibuat,” menurut laporan itu. - Bernama