Projek Pemajuan Kawasan belum capai objektif

Pengurusan PPK kurang cekap di peringkat penyediaan garis panduan dan pelaksanaan projek menyebabkan projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan. - Foto hiasan/Bernama
Pengurusan PPK kurang cekap di peringkat penyediaan garis panduan dan pelaksanaan projek menyebabkan projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati secara keseluruhannya, pelaksanaan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) masih belum mencapai objektif yang ditetapkan.

Menurut laporan itu, pengurusan PPK kurang cekap di peringkat penyediaan garis panduan dan pelaksanaan projek yang menyebabkan projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan peserta tidak menerima manfaat projek mengikut jadual asal.

"Daripada jumlah keseluruhan 15 projek PPK di lapan negeri yang diaudit iaitu Kedah, Johor, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Sarawak didapati hanya empat projek yang siap, enam dalam pembinaan, satu ditamatkan dan empat masih belum dimulakan,” demikian menurut laporan itu.

LKAN memaklumkan 15 projek PPK itu melibatkan jumlah keseluruhan 1,114 unit rumah dan 612 lot tapak membabitkan kos projek RM316 juta dan setakat 31 Disember 2022, sebanyak RM195.39 juta (61.8 peratus) telah disalurkan kepada agensi pelaksana yang dilantik, manakala RM136.48 juta (69.8 peratus) telah dibelanjakan.

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan pelaksanaan projek PPK mencapai objektif ditetapkan, LKAN menyenaraikan tiga syor tindakan penambahbaikan.

Syor berkenaan ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hendaklah memantau rapi pelaksanaan dan persiapan projek PPK mengikut perancangan yang ditetapkan agar manfaat yang disasarkan dapat disampaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Laporan itu turut menyarankan agar KKDW sentiasa mengemas kini garis panduan yang meliputi kriteria pemilihan golongan sasar serta spesifikasi rumah PPK dan membuat kajian kemungkinan berdasarkan penilaian risiko tapak bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda.

KKDW juga perlu meningkatkan pemantauan prestasi perbelanjaan dan kemajuan kerja di peringkat agensi pelaksana bagi memastikan peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi pelaksana dibelanjakan mengikut objektif yang ditetapkan, menurut laporan itu.

Artikel Berkaitan:

PPK di bawah KKDW merupakan satu projek membangunkan penempatan baharu atau penyusunan semula kampung sedia ada secara terancang di kawasan luar bandar yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan ameniti sosial. - Bernama