64 projek RMK11 di Pahang sudah siap

573035
573035
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 64 daripada 335 projek Kerajaan Persekutuan di Pahang di bawah Rolling Plan Keempat 2019, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) berjaya disiapkan.

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, baki 258 projek atau 77 peratus dalam fasa pelaksanaan dan 13 projek (3.9 peratus) masih dalam fasa perancangan.

"Sebanyak RM2.251 bilion diperuntukkan kepada negeri Pahang untuk tahun ini dan RM1.584 bilion atau 70.38 peratus sudah dibelanjakan.

"Secara keseluruhannya, Pahang berada pada kedudukan kelapan dalam prestasi pelaksanaan projek dan program pembangunan di bawah Rolling Plan Keempat 2019, RMK-11 ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Negeri Pahang di sini hari ini.

Menurutnya, melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, kedua-dua pihak akan mencari langkah terbaik bagi mempercepatkan projek yang sedang dilaksanakan.

"Kita difahamkan ada projek agak lambat tetapi setakat ini masalah itu bukan disebabkan faktor kewangan tetapi beberapa faktor lain dan sudah tentu ia dapat dipercepatkan dengan peranan kerajaan negeri," katanya.

Saifuddin berkata, pelaksanaan projek di bawah peruntukan khas Persekutuan bagi negeri Pahang berada pada prestasi amat baik.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah projek khas ini, sebanyak 2,646 projek diluluskan di Pahang dengan peruntukan RM156.64 juta.

"Daripada jumlah tersebut, 2,483 projek dengan kos RM35.17 juta berjaya disiapkan sepenuhnya, 128 projek (RM17.28 juta) dalam pelaksanaan dan 35 projek (RM104.12 juta) belum dimulakan," katanya.

Katanya, perbelanjaan bagi projek khas setakat ini sebanyak RM35.17 juta daripada jumlah waran yang diterima RM37.17 juta.

"Bagi program pembasmian kemiskinan, seramai 23,919 ketua isi rumah di negeri ini berdaftar di dalam sistem eKasih dan daripada jumlah itu 3,808 dikategorikan sebagai miskin.

"Seramai 1,309 pula dikategorikan miskin tegar. Dua daerah mencatatkan mempunyai peserta eKasih paling ramai iaitu Kuantan, 1,156 ketua isi rumah dan Pekan, 702 orang," katanya.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan memainkan peranan dalam mempercepatkan projek Persekutuan di negeri ini termasuk projek yang berdepan masalah kelewatan.

Menurutnya, walaupun berbeza fahaman politik, kedua-dua pihak akan duduk semeja bagi mencari titik persamaan bagi menyelesaikan isu yang timbul dalam pelaksanaan projek Persekutuan di negeri ini.