Argentina benam Brazil di Maracana

Otamendi (kanan) meledak gol tunggal ketika membantu Argentina menewaskan Brazil 1-0. - Foto Agensi
Otamendi (kanan) meledak gol tunggal ketika membantu Argentina menewaskan Brazil 1-0. - Foto Agensi
A
A
A

SUASANA tegang melibatkan pergaduhan penonton cemari aksi Argentina ketika menewaskan Brazil 1-0 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Maracana awal pagi Rabu.

Pergaduhan di tempat duduk penonton itu menyaksikan perlawanan terpaksa ditangguhkan selama 30 minit.

Beberapa minit sebelum sepak mula, polis tempatan menggunakan baton untuk memukul penyokong pelawat yang kononnya didakwa merusuh gara-gara provokasi termasuk melibat lagu kebangsaan.

Ramai yang tercedera termasuk seorang terpaksa diangkat dengan pengusung dengan kepalanya kelihatan berlumuran darah.

Ia berpunca daripada kelemahan pengurusan stadium Brazil yang tidak memisahkan penyokong pelawat seperti kelaziman.

Insiden itu turut menarik perhatian pemain Argentina yang menyaksikan adegan tersebut di mata sendiri, malah ketua pasukan Brazil, Marquinhos turut campur tangan.

Beberapa pemain Argentina cuba merayu supaya penyokong mereka bertenang dengan penjaga gol Emiliano Martinez cuba melompat ke ruang tempat duduk sebelum dihalang seorang pegawai polis Brazil.

Artikel Berkaitan:

Martinez (tengah) cuba menenangkan pergaduhan antara penyokong Argentina dan Brazil di Maracana awal pagi Rabu. - Foto EPA
Martinez (tengah) cuba menenangkan pergaduhan antara penyokong Argentina dan Brazil di Maracana awal pagi Rabu. - Foto EPA

Pemain Argentina diketuai Lionel Messi kemudian kembali ke bilik persalinan mereka ketika pergaduhan berterusan.

"Kami akan meninggalkan tempat ini. Kami tidak beraksi dalam keadaan sebegini," ujar Messi.

Juara Piala Dunia 2022 itu kemudian muncul di padang sejurus sebelum jam 10 malam waktu tempatan dan aksi tersebut dimulakan tidak lama kemudian, kira-kira 30 minit lewat berbanding jadual asal.

Dalam aksi itu, Argentina memperoleh gol tunggal menerusi pemain pertahanan veteran, Nicolas Otamendi pada minit ke-63.

Kemenangan tersebut membantu Argentina kekal di puncak carta kelayakan zon Amerika Selatan dengan 15 mata daripada enam perlawanan.

Kekalahan ketiga Brazil menyaksikan juara dunia lima kali itu menghuni tangga keenam dengan tujuh mata daripada enam perlawanan.