Piala Mirnawan 2023 platform cari pemain ke Piala Dunia Remaja

Pengurus Pasukan Kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi (tengah) bergambar bersama Piala Mirnawan pada sidang media menjelang Kejohanan Antarabangsa Piala Mirnawan Edisi Kedua di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
Pengurus Pasukan Kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi (tengah) bergambar bersama Piala Mirnawan pada sidang media menjelang Kejohanan Antarabangsa Piala Mirnawan Edisi Kedua di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KEJOHANAN Piala Mirnawan 2023 yang bermula esok bakal menjadi medan mencungkil bakat baharu, untuk diketengahkan ke dalam skuad negara bagi saingan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja pada masa depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, saingan jemputan antarabangsa yang menumpukan kepada kategori bawah 17 tahun lelaki dan wanita itu juga, merupakan platform terbaik bagi memberi pendedahan kepada pemain tempatan merasai pengalaman bertanding menyaingi kehebatan pasukan negara lain.

"Ini (Piala Mirnawan) bukan semata-mata merebut trofi, namun lebih kepada pendedahan. Saya mahu mereka merasai bahang pertandingan antarabangsa.

"Kebanyakan pemain yang mewakili Malaysia dalam lingkungan 16 tahun, memandangkan piala dunia remaja ketika ini berlangsung setiap dua tahun sekali, maka kami ada cukup masa untuk menggilap bakat mereka untuk mewakili negara, sama ada dalam masa dua tahun atau empat tahun dari sekarang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hanya pemain berumur 21 tahun dan ke bawah dibenarkan beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja.

Subahan berharap kejohanan Piala Mirnawan yang memasuki edisi kedua itu, akan dianjurkan pada setiap tahun selepas ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat di peringkat akar umbi.

Piala Mirnawan 2023 berlangsung di Stadium Hoki KPM Lembah Pantai, akan menampilkan lima pasukan lelaki serta enam pasukan untuk saingan wanita pada kejohanan yang akan berakhir pada 26 November.

Bagi kategori lelaki, Malaysia akan menghantar dua pasukan iaitu Malaysia Speedy Tigers (A) dan Malaysia Speedy Tigers (B), yang bakal berentap dengan Afrika Selatan, Persatuan Hoki Odisha dari India serta Australia All Star.

Artikel Berkaitan:

Saingan wanita pula menyaksikan pertarungan di antara Malaysia Speedy Tigress (A), Malaysia Speedy Tigress (B), Afrika Selatan, Persatuan Hoki Odisha dari India, Australia All Star dan Jepun.

Dalam pada itu, Subahan berharap agar pemain negara dapat menampilkan semangat juang tinggi, dalam usaha mencapai sasaran ke peringkat suku akhir pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 5 hingga 16 Disember.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Argentina diikuti juara 1997 Australia dan Chile. - Bernama