X

Kindly register in order to view this article
!

Cemas Kompleks PKNS terbakar

Semua premis diarahkan tutup di Kompleks PKNS sebaik dimaklumkan terdapat kebakaran. (Gambar kecil: Siti Maizatul Mohd Zaini)
A
A

SHAH ALAM - Seramai 613 warga kerja di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini berdepan detik cemas apabila kawasan kompleks berkenaan terbakar sekitar 9.43 pagi.

Sebaik sahaja loceng dibunyikan, mereka keluar berpusu-pusu ke tempat letak kereta berdekatan manakala semua premis diarahkan tutup segera.

Seorang kakitangan swasta, Siti Maizatul Mohd Zaini, 30, berkata, sebaik loceng dibunyikan dia bangun dari tempat duduk dan turun menggunakan tangga sebagaimana diarah setiap kali berlaku kecemasan.

"Pada awalnya saya dan rakan-rakan berjalan perlahan menuruni tangga dari tingkat dua tetapi apabila terhidu bau hangit seperti bau benda terbakar, masing-masing mula cemas dan cepat-cepat keluar dari bangunan.

"Sampai di tempat berkumpul barulah saya tahu, ini hanyalah satu latihan kecemasan," katanya.

Katanya, latihan seperti ini adalah aktiviti bermanfaat kerana mendedahkan mengenai cara menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran.

Latihan simulasi yang dilakukan oleh Unit Latihan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam sebagai persediaan menghadapi situasi tidak dijangka.

Warga kerja di Kompleks PKNS keluar berpusu-pusu ke tempat letak kereta berdekatan manakala semua premis diarahkan tutup segera. (Gambar kecil: Hanafiah Mohd Khan)
Warga kerja di Kompleks PKNS keluar berpusu-pusu ke tempat letak kereta berdekatan manakala semua premis diarahkan tutup segera. (Gambar kecil: Hanafiah Mohd Khan)

Sesi latihan yang berlangsung hampir satu jam itu disertai seramai 13 anggota dan pegawai bomba dengan dua jentera termasuk ambulans turut mendapat kerjasama PKNS.

Pegawainya, Hanafiah Mohd Khan berkata, sesi latihan yang berlangsung hampir satu jam turut memberi penerangan terperinci langkah yang perlu diambil ketika menghadapi bencana, selain boleh mempraktikkan apa yang diajar.

“Melalui latihan, taklimat keselamatan dapat diberikan sekali gus dapat difahami warga kerja.

“Selain itu, mereka dapat mempraktikkan cara untuk menyelamatkan diri ketika kebakaran dan membantu apa yang perlu," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, meskipun ia sekadar latihan ia perlu dikendalikan seolah-olah kejadian sebenar berlaku termasuk ada latihan menyelamat mangsa yang tercedera.

"Melalui latihan simulasi itu kita akan membuat post-mortem supaya jika ada sebarang kekurangan dapat ditambah baik.

"Sekurang-kurang setahun sekali perlu dibuat latihan simulasi oleh setiap agensi sebelum diberikan sijil perakuan Bomba," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!