Enam pensyarah UniMAP tersenarai antara Saintis Terbaik Dunia

Tuanku Syed Faizuddin
Tuanku Syed Faizuddin
A
A
A

KANGAR - Enam pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disenaraikan antara dua peratus Saintis Terbaik Dunia oleh Universiti Stanford dari Amerika Syarikat.

Canselor UniMAP yang juga Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pensyarah itu ialah Profesor Dr Subash Chandra Bose Gopinath, Profesor Teknologis Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Profesor Teknologis Dr Uda Hashim, Profesor Madya Ir Teknologis Dr Azwan Iskandar Azmi, Profesor Madya Dr Liew Yun Ming dan Profesor Madya Dr Voon Chun Hong.

"World's Top 2% Scientists merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menghasilkan banyak sitasi dalam pelbagai disiplin selain pengiktirafan di bawah senarai Career-long & Single Year Citation Impact," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan titah perutusan Raja Muda Perlis itu dipaparkan pada skrin gergasi bersempena dengan sidang keenam Istiadat Konvokesyen ke-18 UniMAP di Dewan Ilmu UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra di Arau, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengiktirafan itu membuktikan kecemerlangan UniMAP dalam penyelidikan saintifik yang bukan sahaja telah mengharumkan nama universiti, tetapi juga kepada negara.

"Pencapaian para pensyarah ini menandakan bahawa tenaga pengajar dan taraf akademik UniMAP berada pada tahap tertinggi setanding dengan universiti terbaik di dunia," titah baginda. - Bernama

Artikel Berkaitan: