Agihan kuota benih padi dikaji semula tahun depan

Mohamad ketika berucap mengenai sejarah dan geopolitik Palestin di Alor Setar pada Isnin.
Mohamad ketika berucap mengenai sejarah dan geopolitik Palestin di Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengkaji semula agihan kuota benih padi pada tahun hadapan bagi memastikan kekurangan bekalan tidak berulang pada musim penanaman akan datang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kuota kepada agensi kerajaan akan dinaikkan agar mereka dapat menyediakan lebih banyak benih mengikut kemampuan.

Menurutnya, peratusan penambahan kuota bergantung kepada perbincangan dan kemampuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbabit.

“Kita akan melihat kemampuan GLC itu sama ada mampu sediakan benih padi dalam kuantiti tinggi, (jika ya) kita akan beri banyak.

"Kalau dia mampu dalam kuantiti rendah tetapi minta tinggi, kita akan lihat dan pantau,” katanya ketika sidang akhbar selepas hadir program Solidariti Palestin di sini pada Isnin.

Buat masa ini, agihan kuota benih padi ialah 22 peratus diberikan kepada agensi kerajaan dan 78 peratus kepada syarikat swasta.

Mohamad berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stok benih padi sah (BPS) sebagai langkah jangka panjang.

“Kita cadang hasilkan lebih kurang 50,000 tan metrik BPS. Sekiranya apa-apa berlaku, kita boleh guna stok ini. Cara mengurus stok berkenaan akan diperincikan oleh Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras kerana mereka miliki teknologi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Stok ini penting untuk memastikan insiden tidak cukup benih tidak berulang lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan, lebih 80 peratus padi sudah ditanam di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), sementara kawasan berbaki yang belum menerima benih padi akan menerima bekalan sebelum 1 Disember depan.

“Menjelang 1 Disember semua kawasan MADA sudah ditabur padi. Ia masih dalam jadual penanaman ditetapkan dan tidak berlaku kelewatan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, projek pengairan MADA bernilai RM3 bilion untuk tanaman lima kali dalam tempoh dua tahun kini melepasi anggaran kos asal.

“Berdasarkan taklimat terbaharu, jumlahnya kini melebihi RM3 bilion. Nilai ini meningkat disebabkan isu pengambilan tanah dan baik pulih Empangan Pedu yang memakan kos agak tinggi kerana menggunakan pakar-pakar asing.

“Kita akan mohon peruntukan tambahan kerana ia projek besar untuk faedah sekuriti makanan, saya yakin Perdana Menteri sedia mendengar permintaan kita,” jelasnya.

Mohamad berkata, projek berkenaan mengambil masa tiga tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Mana yang telah siap pengairan akan terus dilaksanakan tanaman lima kali dua tahun.

"Yang belum siap secara beransur-ansur. Insya-Allah dalam masa tiga hingga empat tahun lagi semua boleh tanam padi lima kali dua tahun,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain dapat menambahkan stok bekalan beras tempatan, ia juga mampu meningkatkan tahap sara diri (SSL) sebanyak tambahan lima peratus menjadikan keseluruhan 70 peratus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!