22 lesen jual benih padi sah milik peruncit ditarik balik

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah milik peruncit sehingga Khamis sejak pelaksanaan ‘Task Force’ Operasi Benih Padi Sah (Op BPS) Zon Utara bermula 7 November lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ‘Task Force’ itu dilakukan bagi memastikan semua peruncit menjual benih padi sah mengikut harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tiada sebarang unsur menyorok benih.

“Pada 7 November lalu, sebanyak 20 lesen telah pun ditarik balik dan pada hari ini sebanyak dua lagi lesen telah ditarik.

“Pelaksanaan Task Force OP BPS ini diadakan selama dua minggu dan akan berakhir pada Selasa depan,” katanya di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah segera yang diambil secara tegas dan holistik bagi menangani isu penjualan benih padi sah yang begitu menekan pesawah.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut membuat penetapan harga maksimum jualan benih padi sah bagi setiap kampit 20 kilogram (kg) sebanyak RM40 di pintu gudang syarikat pengeluar manakala RM45 bagi harga runcit mulai 20 Oktober lalu.

“Penetapan harga ini dibuat bagi mengelakkan manipulasi harga benih padi sah di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak,” tambahnya.

Sementara itu, Mohamad menegaskan, sebagai langkah jangka masa panjang menyelesaikan isu tersebut, kementeriannya kini berusaha untuk mewujudkan stok penimbal bagi benih padi sah.

Artikel Berkaitan:

“Kita nak buat stok penimbal macam stok penimbal. Kalau berlaku apa-apa hal, maka stok penimbal ini akan digunakan.

"Seperti beras, kita belum guna lagi stok penimbal (beras) negara yang boleh tampung kegunaan sehingga lima bulan.

“Kita belum ada stok penimbal benih padi. Yang ini kita akan wujudkan pada masa hadapan. Kita juga memperluaskan penggunaan benih padi sah di Sabah dan Sarawak. Ini (langkah untuk) jangka panjang,” ujarnya.