MTL: Pesawah masih sempat tuai padi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) masih boleh meneruskan tuaian padi mereka walaupun Kelantan kini berada dalam peralihan Monsun Timur Laut dan berisiko banjir.

Pengerusinya, Muhammad Husin berkata, bagaimanapun sudah tidak banyak lokasi yang terlibat dengan tuaian dalam musim hujan kerana banyak yang telah dituai sebelum ini.

Menurut beliau, antara kawasan padi yang berisiko dinaiki air ialah beberapa lokasi di Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat.

"Dalam tinjauan saya sebelum ini, tidak banyak pesawah yang belum habis menuai dan mereka masih sempat menghabiskan tuaian berikutan hujan baru bermula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KADA 2022 di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhammad memaklumkan, KADA juga sudah bersiap sedia dengan logistik mereka untuk membantu pesawah mereka menghadapi banjir.

Jelas beliau, antara yang menjadi keutamaan dalam persiapan berkenaan ialah bot dan Bakul Rahmah.

Muhammad (duduk, tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KADA 2022 selepas menyampaikan anugerah itu pada Isnin.
Muhammad (duduk, tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KADA 2022 selepas menyampaikan anugerah itu pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut memantau kawasan KADA yang berpotensi banjir terutama di Pasir Puteh dan Pasir Mas selain mengemas kini senarai ahli jawatankuasa untuk lawatan ke kediaman mangsa banjir," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad memberitahu, KADA tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan benih padi kerana musim penanaman di Kelantan agak lewat dan kini pesawah sedang menuai hasil tanaman berkenaan.

Jelas beliau, pesawah akan memulakan musim baharu pada 17 Disember depan dan benih padi yang diperlukan dalam semusim ialah sebanyak 4,000 tan metrik.

"Langkah awal kita ialah berbincang dengan pengilang di Kedah dan mereka setuju untuk menghantar benih 20,000 beg untuk KADA," katanya.

Media sebelum ini melaporkan KADA memerlukan sebanyak 8,200 tan metrik benih padi setahun bagi membolehkan kerja-kerja penanaman sumber makanan itu dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin, namun agensi itu hanya memperoleh kuota benih sebanyak 700 tan metrik setahun.

Tambah Muhammad, bekalan benih KADA kini mencukupi iaitu kira-kira 1.4 juta beg dan keperluan petani hanya 200,000 beg sahaja untuk musim baharu.